KHAIRUNNISA Ayuni (kanan) menjaringkan dua gol PC menewaskan Indonesia 3-0 dalam aksi klasifikasi lima hingga lapan hari ini. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
SKUAD hoki wanita negara menepati ramalan mara ke penentuan tempat kelima dan keenam Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Indonesia 3-0 di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara hari ini.
Biarpun terlepas ke separuh akhir tetapi kemaraan ke klasifikasi lima dan enam amat penting kerana ia terus menghidupkan peluang buat skuad negara untuk beraksi di pusingan kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) selepas ini.
Kini, Malaysian Tigress hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk menamatkan temasya di tempat kelima dengan menewaskan Thailand pada 2 Oktober ini.
Ketua jurulatihnya, C.R. Kumar menuntut anak-anak buahnya supaya turun beraksi di tahap sebenar nanti selepas kurang gembira dengan keseluruhan prestasi dipamerkan menentang Indonesia hari ini.
“Sebagai jurulatih, saya tidak gembira dengan kemenangan 3-0 yang mana ia bukan seperti kami sasarkan. Kadang-kadang ia sukar, lagi-lagi apabila terlalu ramai pemain berada dalam kawasan D.
“Namun, itu bukan alasan kerana pemain ada banyak peluang terutama 12 pukulan sudut penalti (PC) yang mana kami hanya jaringkan dua daripada jumlah itu. Kami perlu lebih baik di perlawanan seterusnya.
“Saya percaya kami akan turun lebih baik untuk menamatkan kejohanan di tempat kelima supaya kami layak ke kelayakan Olimpik,” katanya.
Dalam aksi hari ini, Malaysian Tigresses membuka tirai jaringan menerusi gol padang Zati Alyani Muhammad Zubir sebelum menambah dua lagi gol menerusi PC daripada Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit ke-41 dan 55.
Atas kertas, skuad wanita dijangka tiada masalah menewaskan Thailand meskipun pertemuan kali terakhir antara kedua-dua pasukan berakhir seri 1-1 di peringkat kumpulan Sukan SEA 2025. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION