BARISAN pemain Malaysian Tigress meraikan kejayaan menewaskan Bangladesh hari ini. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, C.R. Kumar menganggap kemenangan 3-1 ke atas Bangladesh dalam aksi kedua Kumpulan A Sukan Asia Aichi-Nagoya hari ini adalah pengajaran terbaik buat anak-anak buahnya.
Malaysian Tigress berdepan kesukaran untuk mencari gol penyamaan sehinggalah meraih tiga gol dalam 20 minit terakhir untuk mengutip enam mata daripada dua perlawanan di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara.
Bagaimanapun, beliau tetap memuji kebangkitan para pemainnya dan mengharapkan prestasi yang lebih bagus menjelang pertemuan getir menentang pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024, China pada Rabu ini.
“Kami tidak menjangkakan Bangladesh bermain dengan sangat baik, cuma masalahnya adalah penyudah kami tidak begitu klinikal dalam kawasan D dan dihukum dengan mereka menerusi satu serangan balas.
“Ia meningkatkan keyakinan Bangladesh untuk terus berikan tekanan kepada kami. Namun, kami bangkit lebih bagus, meraih banyak peluang dan akhirnya menang dengan kelebihan margin yang positif.
“Jadi dua perlawanan awal ini menjadi sejarah dan saya harap kami boleh beraksi lebih baik menentang China nanti. Kita tahu China bukan lawan yang muda dan mereka antara kuasa besar hoki dunia sekarang,” katanya.
Skuad Senior Wanita Kebangsaan ketinggalan satu gol kepada Bangladesh hasil jaringan padang Kona Akter pada minit ke-25.
Malaysian Tigress kembali menunjukkan taring sebenar untuk memenangi perlawanan dengan tiga gol, dua menerusi Nuramirah Shakira Zulkifli pada minit ke-40 dan 59 serta satu daripada Zati Alyani Muhammad Zubir (m-44).
Para pemain juga perlu memperbaiki kekurangan dari segi penyudah pukulan sudut penalti (PC) yang mana skuad negara gagal menghasilkan sebarang gol daripada tujuh dimiliki hari ini termasuk satu penalti stroke gagal disudahkan. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION