MAYBANK ketika ini masih belum tewas dan sudah merekodkan empat kemenangan termasuk tiga perlawanan tanpa bolos berturut-turut. - ARENA HOKI MALAYSIA
MAYBANK membuktikan mereka tidak sembang kosong apabila kini muncul pencabar serius kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 apabila melebarkan penguasaan di tangga teratas dengan 13 mata.
Bukan itu sahaja, Maybank juga berjaya merekodkan tiga perlawanan berturut-turut tanpa bolos dengan terbaharu menang 3-0 ke atas wakil China, Liaoning di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini (28 April).
Menariknya, pakar flik yang juga kapten Maybank, Muhammad Najmi Farizal Jazlan terus membuktikan ketajamannya dengan meledak gol ketujuh peribadi, sekali gus mengungguli carta penjaring terbanyak.
“Setiap perlawanan MHL memang saya sasarkan gol dan Alhamdulillah setakat aksi kelima, saya berjaya jaringkan tujuh gol.
“Kami di Maybank terapkan pertahanan yang akan memenangi perlawanan. Selagi tak bolos walaupun kami tak dapat jaringkan gol, kami masih seri. Tapi kalau bolos dan kami tak dapat gol, kami akan kalah.
“Sekarang kami perlu konsisten. Ia sangat penting dan kami tak boleh jatuhkan prestasi, sekurang-kurangnya menyamai tahap sekarang,” katanya kepada Podium On Tour.
Dalam aksi itu, Muhammad Shahril Saabah yang beraksi dalam musim terakhirnya di pentas MHL, terus mempamerkan ketajaman dengan gol padang pada minit keempat.
Ia adalah jaringan peribadi keenam Shahril dan kini berada di tangga kedua penjaring terbanyak bersama Faizal Saari dari Pasukan Hoki Terengganu.
Berselang seminit kemudian, bekas kapten skuad hoki kebangsaan, Muhammad Razie Rahim menggandakan kedudukan sebelum Najmi memastikan kemenangan Maybank dengan gol ketiga pada minit ke-38.
Selepas ini, skuad bimbingan Iman Gobinathan itu dijadualkan bertemu Armed Forces HT pada 8 Mei nanti. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – ARENA HOKI MALAYSIA