Keputusan perlawanan hari kedua Piala Tun Abdul Razak
PERAK terus membuktikan kesungguhan tinggi untuk menjuarai Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak (TARC) 2026 apabila sekali lagi mencatat kemenangan besar buat kali kedua berturut-turut.
Hari ini, Perak menang bergaya 13-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Hoki Pandamaran (MBDK), Klang untuk mengumpul enam mata selepas terdahulu menewaskan Selangor 11-0 dalam aksi pertama Kumpulan A semalam.
Muhammad Amirul Haniff Mamat berada dalam kelas tersendiri apabila menghasilkan empat gol diikuti Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar dan Muhammad Nursyahmi Zulkifli yang masing-masing meledak dua jaringan.
Baki lima lagi gol Perak dihasilkan oleh Ahmad Arif Daniel Mohd Shahreen, Azril Misron, Shazril Irwan Nazli, Muhammad Izz Ilhan Azrul Ridzuan dan Muhammad Najib Abu Hassan.
Turut mencatat kemenangan besar hari ini adalah Perlis yang menewaskan Negeri Sembilan 9-1 dalam saingan Kumpulan B.
Tonggak berpengalaman Perlis, Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang meledak dua gol dalam aksi itu, berpuas hati dengan permulaan positif dalam misi mereka memburu tempat ke separuh akhir.
“Semua pemain berdisiplin dan ambil setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol. Kami tak boleh benarkan momentum ini jatuh, apa sekalipun kami perlu kekalkannya.
“Sasaran awal kami ke separuh akhir dahulu. Jadi semua ada lima perlawanan termasuk hari ini, kami tak boleh hilang mata. Kena menang atau sekurang-kurangnya seri,” kata Najmi.
Baki 2 lagi perlawanan yang berlangsung menyaksikan juara bertahan, Terengganu menang 6-0 ke atas Selangor, manakala ATM menewaskan PDRM 3-2. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MHC