AZRAI (dari kiri), Faizal dan Najmi berada dalam kelompok tiga teratas carta penjaring terbanyak MHL setakat ini. - HOKITA / JEUXNEY.SOHKHIM
KEDUDUKAN pemenang Kasut Emas Liga Hoki Malaysia (MHL) musim lalu, Faizal Saari di tangga teratas carta penjaring terbanyak edisi kali ini mula ‘goyang’ dengan ketajaman dua pencabar utamanya.
Faizal ketika ini sudah meledak 11 gol, cuma berkelebihan satu mengatasi kapten Maybank, Najmi Faizal Jazlan dan penyerang utama TNB ThunderStars, Azrai Aizad Abu Kamal yang masing-masing sudah mengumpul 10 gol.
Najmi terus menepati statusnya sebagai pakar pukulan sudut penalti (PC) apabila mengumpul jaringan PC ke-8 peribadi ketika meledak hatrik, termasuk dua gol penalti stroke, menewaskan Armed Forces HT 8-1 petang tadi (8 Mei).
Tonggak pertahanan itu pastinya turut mengintai peluang untuk merebut anugerah peribadi berkenaan memandangkan dia masih belum pernah memenangi Kasut Emas MHL sepanjang kariernya.
Baki lima lagi gol Maybank diperoleh menerusi G. Eswaran, Rashid Baharom, Aslam Hanafiah, Shahril Saabah dan Ashran Hamsani, manakala jaringan tunggal Armed Forces diraih oleh Hilmi Midi.
Menariknya, bukan cuma Najmi tetapi Azrai Aizad juga mencuri tumpuan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini (8 Mei) apabila ‘mengganas’ dengan meledak 5 gol.
Empat gol padang dan satu penalti stroke Aizad antara faktor TNB menang 10-0 ke atas Young Elephants Pahang dengan baki lima lagi dijaringkan dua oleh Faiz Helmi Jali serta satu daripada Jang Jong Hyun, Aminudin Zain dan Danish Aiman Khairil Anuar.
Faizal sebelum ini meledak empat gol ketika Pasukan Hoki Terengganu (THT) menang 6-0 ke atas kelab China, Liaoning pada 5 Mei lalu, namun kad merah yang diterimanya dan Wang Yubo (Liaoning) sedikit mencemari kecemerlangan itu.
Bagaimanapun, perjalanan musim ini masih panjang memandangkan saingan pusingan kedua akan berlangsung sekitar November depan termasuk aksi Piala TNB selepas itu. – PODIUM ON TOUR
Anugerah Kasut Emas 2021-2025
2025 – Faizal Saari (23 gol)
2024 – Azrai Aizad (32 gol)
2023 – Azrai Aizad (40 gol)
2022 – Faizal Saari (25 gol)
2021 – Faizal Saari (16 gol)
KREDIT FOTO – HOKITA / JEUXNEY.SOHKHIM