SKUAD hoki negara bergambar sebelum berlepas ke Cape Town dari KLIA pagi tadi. - MHC
PERJUANGAN skuad hoki lelaki kebangsaan berjauhan dengan keluarga selama 41 hari bermula apabila mereka berlepas ke Cape Town, Afrika Selatan untuk menghadapi saingan Piala Negara-Negara 2025-26 (Nations Cup) dari 11 hingga 20 Jun ini.
Speedy Tigers berlepas awal pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), akan bermain aksi persahabatan menentang Ireland pada 8 Jun ini sebelum membuka kempen Nations Cup dalam Kumpulan A.
Selepas itu, Speedy Tigers akan berlepas ke Durban untuk kem pemantapan pasukan (21-24 Jun) dan sesi latihan di sana (25 Jun-3 Julai) termasuk lima perlawanan persahabatan dengan Afrika Selatan dari 4-13 Julai.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berharap pemain-pemain terpilih akan menampilkan aksi lebih berani serta berikan tentangan terbaik di sana nanti.
“Ada beberapa pemain yang dipanggil semula turut bersama pada kejohanan ini. Kami berharap agar kombinasi pemain lama dan yang baru kembali dalam pasukan dapat membentuk satu keserasian, juga mempamerkan persembahan terbaik,” katanya.
Di Cape Town, Speedy Tigers diletakkan dalam Kumpulan A bersama Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Scotland dengan sasaran meraih kedudukan dua terbaik untuk layak ke separuh akhir.
Aksi Kumpulan B menyaksikan Perancis, Ireland, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat akan berentap merebut dua slot terbaik ke separuh akhir.
Seandainya menjuarai kejohanan berlangsung di Stadium Hartleyvale itu, Speedy Tigers akan meraih tiket kelayakan untuk beraksi buat kali pertama dalam kempen FIH Pro League bagi musim 2026-2027.
Pencapaian terbaik Malaysia di Nations Cup adalah muncul tempat keempat pada 2022 sebelum dua edisi seterusnya berakhir di kedudukan ketujuh (2023-24) dan kelima (2024-25). – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MHC