RAHUUL (kiri) meraih anugerah sebagai pemain terbaik perlawanan menentang Kazakhstan hari ini. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
PENYERANG skuad hoki remaja negara, Rahuul Fazrien Nazrien mengetui pesta gol ke atas Kazakhstan dalam kemenangan 8-0 pada aksi pertama Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China hari ini.
Kecemerlangan Rahuul meledak dua gol padang bermula minit pertama dan 32 turut membolehkannya dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.
Meskipun mencatat kemenangan selesa, namun ketua jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin merasakan masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki terutamanya permulaan perlahan selepas terhasilnya gol pertama perlawanan.
“Selepas gol itu, kita terus perlahan. Semalam Kazakhstan kena 15 gol dengan Pakistan, jadi sudah tentu mereka penuhkan di bahagian pertahanan terutamanya dalam 10 minit yang pertama.
“Kita ada banyak peluang dalam kawasan mereka tetapi tak dapat jaringkan gol. Jadi antara kelemahan perlu dibaiki adalah pemain-pemain kena curi peluang itu dan hasilkan jaringan.
“Kemudian kita bangkit di suku ketiga dan keempat, hasilnya menang dengan lapan gol. Perlawanan ini penting juga untuk kita kerana ia menjadi bekalan untuk aksi seterusnya berdepan Bangladesh esok,” katanya.
Baki enam lagi jaringan Young Tigers dihasilkan oleh Safwan Salihe (32′ PC), Faiz Afzan Faizal (39′ FG), Muhammad Aizat Akhera (44′ FG), Gagandeep Singh Aphthar Singh (48′ FG), Shafiq Ammar Fahmi Suzaini (51′ FG) dan Dheeressh Gunaseelan (60′ PC).
Dalam masa sama, Nor Saiful mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak leka kerana Bangladesh dilihat mempunyai keupayaan untuk bertahan dengan baik dan melakukan serangan balas pantas.
“Bangladesh bertahan dengan baik menentang China semalam dan mereka hanya menunggu untuk lakukan serangan balas. Itu yang berbahaya kalua kita terlalu naik dalam kawasan mereka.
“Bangladesh sekarang tidak seperti dulu. Kalau tengok aksi menentang China, mereka juga boleh menang tetapi tak manfaatkan beberapa peluang yang ada. Jadi esok bukan satu perlawanan yang mudah,” jelas Nor Saiful. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION