BARISAN pemain Selangor meraikan kejayaan bersejarah mereka kembali menjulang gelaran TARC selepas menewaskan Kuala Lumpur di final hari ini. - MHC
SELANGOR akhirnya berjaya menamatkan penantian tiga tahun bergelar naib juara Piala Tun Abdul Razak (TARC) kategori wanita apabila menjuarai edisi 2026 kali ini.
Menariknya, kejayaan itu tidak hadir dengan mudah apabila mereka hampir-hampir sekali lagi dikecewakan buat kali keempat, namun bangkit untuk menjulang gelaran berkenaan dengan kemenangan ke atas Kuala Lumpur.
Pada aksi final di Stadium Hoki Pandamaran, Klang hari ini, skuad Merah Kuning terpaksa menunggu sehingga dua minit terakhir untuk mencatat seri 1-1 dan mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out sebelum menang 3-2.
Ketua Jurulatih Selangor, Mohd Badrul Hisyam Osman memuji semangat juang tinggi barisan pemainnya yang sama sekali tidak menunjukkan tanda-tanda berputus asa dalam usaha mencari gol penyamaan sepanjang perlawanan.
Baginya, musim pertamanya bersama Selangor tahun ini amat manis kerana berjaya menghadiahkan gelaran yang ditunggu-tunggu pasukan itu sejak kali terakhir mereka bergelar juara pada 2022.

“Pemain berikan segala kudrat yang mereka ada dalam perlawanan ini untuk mendapatkan kemenangan hari ini. Walaupun banyak peluang tetapi mereka tak patah semangat sehinggalah berjaya mendapat gol penyamaan.
“Kita boleh nampak kegembiraan yang teramat daripada pemain sebab kita tahu tahun-tahun kebelakangan ini kita terkandas di naib juara. Hari ini mereka membuktikan mereka selayaknya menjadi juara,” katanya.
Kuala Lumpur membuka tirai jaringan menerusi Soraya Damia Rahimi pada minit ke-17 sebelum Selangor mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Qumyra Allysyia Iman Mohd Rizal ketika aksi berbaki dua minit lagi untuk tamat.
Di penentuan penalti shoot-out, kegagalan pengambil terakhir Kuala Lumpur, Nur Zafirah Aziz menyudahkan percubaan secara tak langsung memberikan kemenangan 3-2 buat Selangor.
Tiga penjaring Selangor dalam penentuan penalti shoot-out ialah Nur Atirah Mohamad Ismail, Raja Norsharina Raja Shabuddin dan Norazlin Sumantri.
Tempat ketiga kategori wanita pula dimenangi Pahang selepas menewaskan Melaka 5-3 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MHC