NABIL akan turun membuat penampilan ketiganya di pentas SOJC selepas beraksi edisi 2024 dan 2025. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
KAPTEN skuad hoki remaja negara, Muhammad Nabil Irfan Yusof yakin Malaysia mampu mencabar kedudukan podium pada Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 bermula hari ini hingga 24 Oktober ini.
Tonggak pertahanan berusia 20 tahun itu berkata, persiapan pasukan berada pada tahap baik dan setiap pemain sedia memberikan aksi terbaik bagi merealisasikan sasaran tersebut.
Ia bermula dengan aksi pertama liga sepusingan menentang China di Stadium Hoki Johor, Taman Daya malam esok (18 Oktober).
“Bagi saya, kita sudah banyak bermain dengan mereka. Jadi, kita tidak boleh mengambil mudah kerana mereka juga mempunyai kelebihan sendiri. Kita perlu lebih fokus untuk menang.
“Tidak mustahil kerana kita bermain dengan pasukan yang kuat seperti Pakistan dan kita pun boleh mengawal permainan. Tetapi, ketika Piala Remaja Asia, kita agak leka dan mereka berjaya menewaskan kita.
“Kali ini persiapan pasukan berada dalam keadaan baik. Semua sudah 100 peratus bersedia dan saya yakin kita boleh pergi ke podium, Insya-Allah,” katanya.
Biarpun beraksi di posisi pertahanan, Nabil turut memasang impian untuk mencabar kedudukan penjaring terbanyak kejohanan disebabkan peranannya mengambil pukulan sudut penalti buat pasukan.
Young Tigers juga akan berdepan Jepun (20 Oktober), Pakistan (21 Oktober) dan Kanada (23 Oktober) sebelum bermulanya perlawanan penentuan pingat gangsa atau final pada 24 Oktober ini. – PODIUM ON TOUR
FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION