PARA pemain SSBJ Juniors meraikan jaringan ketiga ketika menewaskan SSN Perlis Thunderbolts 3-2 pada separuh akhir Divisyen 2 hari ini.
SSBJ Juniors berjaya mencapai objektif utama mara ke pentas final Divisyen 2 Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2026 sekali gus bakal dinaikkan pangkat ke Divisyen 1 musim depan.
Kejayaan itu hadir menerusi kemenangan 3-2 ke atas SSN Perlis Thunderbolts pada aksi separuh akhir penuh debaran di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini (1 Julai).
Bagaimanapun, ketua jurulatih SSBJ Juniors, Che Mohd Nasa’i Che Ramli tidak mahu para pemainnya dibuai dengan kejayaan layak ke Div 1 kerana misi mereka masih belum selesai.
“Alhamdulillah objektif tercapai dan seperti saya katakan sebelum ini, kami mahu gelaran juara Div 2. Paling penting sekali tiada pemain yang cedera hari ini dan semua boleh beraksi di final,” katanya kepada Podium On Tour.
Dalam masa sama, beliau kekal tenang dengan penurunan prestasi pasukannya di suku keempat yang menyaksikan SSN Perlis meledak dua gol dan hampir menggugat kemenangan SSBJ.
“Hujung-hujung tadi agak mendebarkan, namun ini membuktikan pemain-pemain muda kami mampu menyerap tekanan yang tinggi. Ia amat penting dalam proses mereka belajar sesuatu.
“Rehat satu hari ini kami akan gunakan sebaik mungkin untuk bangkit berikan prestasi terbaik di final nanti,” jelasnya.
Tiga gol SSBJ dalam aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu diperoleh menerusi dua jaringan Mirza Hilman Mohd Kamaruzaman (m-8, m-50) dan satu daripada Muhammad Hakim Suhaimi pada minit ke-18.
SSN Perlis berjaya menjaringkan dua gol lewat daripada Mohamad Fareez Abd Razak pada minit ke-53 dan 60, namun ia sudah terlewat untuk menghalang kemenangan SSBJ.
Di final Jumaat ini, SSBJ akan bertemu PPHT Thunderbolts untuk merebut gelaran juara Divisyen 2 sebelum kedua-dua pasukan itu turun berentap dengan 6 pasukan daripada Divisyen 1 dalam saingan Piala TNB. – PODIUM ON TOUR