DILRAJ meledak jaringan keempat THT dalam kemenangan 4-1 ke atas Territory Stingers di Stadium Hoki Nasional hari ini (3 Mei).
JUARA treble musim lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) kembali ‘bernyawa’ dalam misi memburu kedudukan teratas Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 hasil kemenangan 4-1 ke atas Territory Stingers hari ini (3 Mei).
Kemenangan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu amat penting selepas THT tercicir dua mata berharga ketika diikat TNB Thunderbolts 1-1 di Kuala Terengganu hujung bulan lalu.
Ketua jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom menyifatkan kejayaan ke atas kelab dari Darwin, Australia itu atas faktor semangat berpasukan dan barisan pemain juga mula menunjukkan kombinasi mantap antara satu sama lain.
“Dah mula dapat rentak dan bahagian serangan juga menunjukkan satu impak yang positif. Mereka tahu bila perlu pegang bola dan apabila peluang ada, mereka sudahkan 100 peratus.
“Kita akan terus bersaing sebab kita tak tahu apa akan berlaku pada masa depan tetapi THT akan terus konsisten dengan kemenangan supaya kita boleh menccabar pasukan di atas.
“Kita nak kekalkan momentum dan semangat yang sama seperti hari ini. Kita akan beri 100 peratus lagi pada Selasa ini (menentang Liaoning),” katanya kepada Podium On Tour.
THT membuka tirai jaringan menerusi gol padang Keenan Craig Horne seawal minit keenam sebelum jaguh Pantai Timur itu menambah dua lagi gol melalui pukulan sudut penalti (PC).
Dua jaringan itu diperoleh menerusi Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran dan Faizal Saari masing-masing pada minit ke-34 serta 42.
Import dari India, Dilraj Singh Gautam Singh memastikan THT selesa dengan gol keempat pada minit ke-48 sebelum Zach Rakkas menghadiahkan jaringan sagu hati buat Territory Stingers di minit terakhir perlawanan. – PODIUM ON TOUR