DANISH (dua dari kiri) membuka tirai jaringan buat TNB Thunderstar dalam kemenangan 4-2 ke atas Maybank hari ini.
PASUKAN pilihan, TNB Thunderstar semakin hampir untuk mendakap gelaran Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 apabila berkelebihan selesa di puncak hasil kemenangan 4-2 ke atas Maybank di Stadium Hoki TNB, UNITEN hari ini.
Peluang kini terletak di tangan TNB Thunderstar sendiri yang hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu keputusan seri atau kemenangan dalam aksi seterusnya untuk mengesahkan kejuaraan kedua musim ini.
Juara Piala Sumbangsih 2026 itu mengumpul 31 mata, berkelebihan lapan mata ke atas Maybank di tangga kedua dan 10 mata terhadap Pasukan Hoki Terengganu (THT) di tempat ketiga.
TNB Thunderstar berbaki tiga perlawanan menentang Territory Stingers pada 11 November ini diikuti Young Elephants Pahang (12 November) dan THT (14 November) sementara Maybank dan THT berbaki 4 perlawanan lagi.
Maybank akan menentang TNB Thunderbolts, THT, Territory Stingers dan Armed Forces, manakala THT akan bertemu Armed Forces, Maybank, TNB Thunderstar dan Territory Stingers.

Ketua jurulatih TNB Thunderstar, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor gembira dengan reaksi anak-anak buahnya terutama di suku terakhir kerana tidak mudah untuk menewaskan Maybank yang turut memburu kejuaraan liga.
“Perlawanan hari ini sangat berintensiti tinggi kerana masing-masing mahukan kemenangan. Alhamdulillah kita berjaya memastikan kemenangan di suku terakhir melalui jaringan Jang (Jonghyun) dan Azrai (Aizad Abu Kamal).
“Pemain-pemain kita berstatus kebangsaan, jadi ada standard yang memang mereka kena jaga. Mereka dah biasa bermain dengan pasukan-pasukan dari luar negara, jadi sepatutnya inilah standard yang mereka kena tunjukkan,” katanya.
Dalam aksi hari ini, Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar membuka tirai jaringan buat TNB Thunderstar sebelum Amirrullah Zainol mengikat kedudukan buat Maybank.
TNB Thunderstar kembali mendahului menerusi Jang Jonghyun, namun Maybank sekali lagi membuktikan semangat tidak mudah menyerah kalah dengan jaringan penyamaan melalui Muhammad Nur Asyraf Ishak.
Bagaimanapun, TNB Thunderstar memastikan tiga mata milik mereka dengan dua gol di suku keempat menerusi Jonghyun dan Azrai Aizad Abu Kamal untuk menang 4-2. – PODIUM ON TOUR