SKUAD remaja negara sudah bersiap sedia untuk turun menghadapi saingan SOJC di Stadium Hoki Taman Daya dari 17 hingga 24 Oktober ini. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
SKUAD hoki remaja lelaki negara menyasarkan penamat podium pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru dari 17 hingga 24 Oktober ini bagi menamatkan penantian empat edisi sebelum ini.
Sejak saingan SOJC kembali dianjurkan pada 2022 setelah dua tahun tidak diadakan kerana Covid-19, Young Tigers terpaksa akur terlepas menaiki podium seperti kali terakhir meraih tempat ketiga ketika edisi 2019.
Namun, kali ini skuad remaja negara turun sebagai pasukan dengan ranking remaja dunia terbail iaitu No.11 berbanding empat lagi pencabar seperti Pakistan (No.12), Kanada (No.16), Jepun (No.17) dan China (No.20).
Ketua jurulatihnya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, peluang untuk merealisasikan sasaran itu bergantung kepada kekuatan sebenar lawan yang bakal diturunkan dalam kejohanan berkenaan, khususnya Pakistan dan Kanada.
Menurutnya, meskipun kejohanan itu melibatkan pemain bawah 21 tahun (B21), tahap kematangan serta pengalaman pemain yang bakal dibawa setiap pasukan perlu diambil kira dalam menentukan sasaran yang realistik.
“Pakistan memang pasukan yang sangat kuat dan Kanada pula kita tak tahu siapa pemain B21 yang akan dibawa mereka. Mungkin pemain lebih matang, bukan 18 atau 19 tahun sahaja.
“Yang saya tahu Pakistan ada pemain mereka bermain di World League (Liga Pro FIH). Namun, sudah tentu bila kita masuk, kita nak podium. Itu yang kita nak rancang dan menjadi sasaran kita,” katanya.
Pencapaian terbaik Young Tigers di pentas SOJC adalah muncul juara sewaktu edisi pertama penganjurannya pada 2011.
Dalam masa sama, kejohanan kali ini juga menjadi peluang terbaik buat barisan muda negara menebus kekecewaan mereka selepas menamatkan Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China bulan lalu di kedudukan keempat.
Selepas tamat SOJC, Young Tigers akan berlepas ke Chennai, India untuk aksi kejohanan jemputan, Piala Emas Murugappa 2026 dari 25 Oktober hingga 4 November ini. – PODIUM ON TOUR
SENARAI PEMAIN YOUNG TIGERS DI SOJC 2026
| 1 | Haziq Muizzuddin Bin Hairul Mizan | PENJAGA GOL |
| 2 | Mohamad Adib Amsyar Bin Mohammad Hanif | |
| 3 | Muhammad Nabil Irfan Bin Mohd Yusof | PERTAHANAN |
| 4 | Dheeressh Gunaseelan | |
| 5 | Iman Faris Bin Faizo | |
| 6 | Muhammad Hafiezuddin Bin Mohd Ali | |
| 7 | Eswaran A/L George | |
| 8 | Muhammad Adam Asyraf Bin Johari | TENGAH |
| 9 | Shelston Silverius | |
| 10 | Harieq Hadief Bin Mohd Fariq | |
| 11 | Gagandeep Singh A/L Aphthar Singh | |
| 12 | Aferull Syah Bin Ahmad Azuan Syahrill | |
| 13 | Muhammad Safwan Bin Salihe | PENYERANG |
| 14 | Shafiq Ammar Fahmi Bin Suzaini | |
| 15 | Rahuul Fazrien Bin Muhammad Nazrien | |
| 16 | Naaveennash Paniker A/L S Thevendra | |
| 17 | Muhammaf Faiz Afzan Bin Mohd Faizal | |
| 18 | Muhammad Ashrafeel Iman Mohd Rizal |
FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION