AZRAI (tengah) meraikan kejayaannya meledak gol keempatnya ketika menentang Thunderbolts hari ini.
KEYAKINAN barisan pemain TNB Thunderstar kini berada pada tahap tertinggi untuk menghadapi pertemuan getir menentang Maybank yang boleh menentukan peluang kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026.
Ia susulan kemenangan besar 8-3 ke atas TNB Thunderbolts di Stadium Hoki UNITEN hari ini yang turut menyaksikan penyerangnya, Azrai Aizad Abu Kamal meledak empat gol.
Sebagai rekod, TNB Thunderstar berjaya meledak 24 gol daripada tiga perlawanan sejak pusingan kedua TNB MHL 2026 kembali berlangsung pada 5 Oktober lalu.
Dua perlawanan sebelum ini menyaksikan pendahulu MHL 2026 itu menang 7-1 ke atas Armed Forces dan 9-2 terhadap UiTM HA-KPT.
Ketua Jurulatih TNB Thunderstar, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor gembira dengan komitmen dan keseluruhan prestasi ditunjukkan anak-anak buahnya sebelum bertemu Maybank pada Khamis ini.
“Saya lihat pemain telah berikan 100 peratus komitmen dan mengikut setiap apa yang kita rancang untuk hari ini. Yang bagusnya juga kita tiada apa-apa kecederaan berlaku hari ini.
“Kita cipta banyak peluang dan berjaya jaringkan gol. Cumanya kita kena tajamkan lagi dari segi setpiece atau direct flick PC (pukulan sudut penalti) untuk Khamis ini.
“Secara keseluruhan boleh kata kita sudah bersedia sebab perlawanan Khamis ini amat penting. Boleh katakan penentu juga dan kalau tiada apa-apa yang menghalang, kita akan pergi untuk kejuaraan liga,” katanya.
Empat gol Azrai hari ini hasil tiga jaringan padang dan satu penalti stroke membolehkan dia kembali merampas status penjaring terbanyak dengan 22 gol, 3 gol mengatasi bintang THT, Faizal Saari.
Baki empat lagi gol TNB Thunderstars dihasilkan dua oleh T. Naaveennash Panicker dan masing-masing satu daripada Shello Silverius serta Faiz Helmi Jali.
TNB Thunderbolts pula meraih tiga gol hari ini menerusi Harieq Hadief Mohd Fariq, Dheeresh Gunaseelan dan Muhammad Asyraff Ismail. – PODIUM ON TOUR