PAKISTAN pernah mencatat keputusan seri 3-3 dengan Malaysia dalam pertemuan terakhir pada saingan Piala Negara-Negara FIH 2024-2025 di Kuala Lumpur tahun lalu. - MHC
PENCABAR utama Malaysia iaitu Pakistan berdepan pelbagai masalah di bumi Australia dalam persediaan mereka menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir bulan depan.
Difahamkan, pemain-pemain Pakistan terpaksa menunggu hampir tiga jam apabila di perkarangan lobi sebuah hotel empat bintang sebelum mengetahui tempahan itu dibatalkan kerana tiada pembayaran dibuat.
Menurut laporan The Express Tribune, kaki tangan hotel memaklumkan bahawa tempahan hanya boleh dibuat semula dengan kadar harga yang jauh lebih tinggi.
Dibiarkan terkandas tanpa penginapan dan makanan di negara asing selain tiada dana kecemasan, skuad itu yang dibarisi lebih kurang 20 pemain terpaksa berdikari dengan menginap di Airbnb yang lebih murah.
Sebenarnya, masalah dihadapi pasukan No.14 dunia ini terjadi sebelum berlepas ke Australia lagi apabila pihak imigresen Australia menolak permohonan visa Pakistan, mendakwa borang yang dihantar oleh Persekutuan Hoki Pakistan (PHF) disi dengan salah.
Selepas semakan dokuman dan keperluan biometrik dipenuhi, Pakistan yang menggunakan Thai Airways terpaksa menunggu selama 12 ke 13 jam di Sydney sebelum penerbangan seterusnya ke Hobart.
Disebabkan tiada tempahan hotel atau makanan dibuat PHF, salah seorang pemain Pakistan terpaksa menghubungi kenalannya di Sydney yang menyediakan kesemuanya dengan membawa mereka ke kawasan awam berhampiran Pelabuhan Sydney.
Kontroversi itu secara tidak langsung mencalarkan imej Pakistan yang beraksi dalam saingan Pro League FIH sehingga mendapat kecaman daripada bekas-bekas pemain dan peminat-peminat negara it.
Kepenatan dari segi mental dan fizikal mungkin menjadi antara punca Pakistan gagal menyerlah apabila tewas 0-3 kepada Australia di Pusat Hoki Tasmania, Hobart semalam (13 Februari) hasil dua jaringan Blake Govers dan satu daripada Jack Welch.
Situasi sama berterusan apabila Pakistan yang pernah dianggap antara kuasa besar dunia, dibelasah juara dunia yang juga finalis Sukan Olimpik 2024, Jerman 1-6 dalam aksi hari ini (14 Februari).
Sebagai rekod, Pakistan dianggap antara pencabar utama Malaysia selain China dan Austria dalam misi merebut kedudukan dua teratas Kumpulan B pada Kelayakan Piala Dunia 2026 di Mesir dari 1 hingga 8 Mac ini.
Berdasarkan rekod tujuh pertemuan sejak 2023, Malaysia baru menang sekali, 3-1 ketika saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, India dengan bakinya tewas dua kali, 2-5 (Sukan Asia Hangzhou) dan 4-5 (Piala Sultan Azlan Shah) dan seri empat kali.
Empat seri itu berakhir bermula 3-3 di Kelayakan Olimpik di Oman; 4-4 (Piala Negara-Negara FIH di Poland); 2-2 (ACT 2024) dan 3-3 (Piala Negara-Negara FIH di KL). – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MHC