IZZUL melakukan catatan 16.44m dalam percubaan terakhirnya pada Junior All Comers 2026 semalam. - SUKAN IPT
TIADA siapa menjangka pelapis kebangsaan, Muhammad Izzul Haniff Mohd. Raffi mampu melakukan lompatan sejauh 16.44 meter (m) untuk memahat Namanya sebagai atlet ketiga terbaik sepanjang zaman Malaysia bagi acara lompat kijang.
Bagi Izzul, atlet berusia 23 tahun itu hanya memberikan segala yang dia ada pada lompatan terakhir dengan niat mencecah jarak 16.30m dalam usaha mencari tiket awal ke dua temasya besar tahun ini.
Difahamkan, Izzul perlu mencapai jarak berkenaan untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland (23 Julai-2 Ogos) dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober nanti.
Seperti tidak percaya, atlet dari Shah Alam, Selangor berjaya melakukan lompatan sejauh 16.44m pada percubaan terakhirnya di Kejohanan Olahraga Rakan Muda/JBSN/MSWP/POWP/MILO Junior All Comers 2026 semalam (14 Februari).
“Saya memang nak cuba jarak 16.30m sebab alang-alang lompatan pertama dah dapat 16m. Saya tak fikir apa, saya perah habis tenaga tapi tak tahu pula jauh perginya sampai 16.44m.
“Kudrat dengan hati saya berikan segala-gala yang saya ada untuk cuba layak ke Sukan Asia dan Komanwel. Saya sendiri tak sedar saya adalah atlet ketiga terbaik di Malaysia dengan jarak ini.
“Saya bersyukur tetapi tak boleh selesa, saya nak konsisten dengan jarak 16m dalam setiap kejohanan. Saya tahu tidak mudah tetapi saya akan berikan sehabis baik seperti hari ini,” katanya kepada Podium on Tour.
Berdasarkan catatan terbaik Malaysia, pemegang rekod lompat kijang kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail kekal di tangga pertama dengan jarak 16.77m
Pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu turut memegang dua lagi catatan terbaik sepanjang zaman dengan jarak 16.76m dan 16.68m
Tempat keempat menjadi milik pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2015, Andre Anura Anuar menerusi catatan 16.51m.
Ini bermakna Izzul berkongsi catatan kelima terbaik dengan Hakimi yang pernah merekodkan jarak 16.44m sebelum ini. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – SUKAN IPT