LATIF menjuarai edisi Aichi-Nagoya 2026 sekali gus memenangi pingat emas keempatnya di pentas Sukan Para Asia.
JAGUH paralimpik, Datuk Abdul Latif Romly menepati ramalan apabila memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan jarak 7.39 meter (m) di Stadium Nagoya City Mizuho Park hari ini.
Ia adalah pingat emas keempat Latif, 29, di pentas Sukan Para Asia sejak beliau mula memenanginya pada edisi Incheon 2014, Jakarta 2018 dan Hangzhou 2022.
Pada aksi berlangsung hari ini, pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik itu tiada masalah untuk menggenggam pingat emas meskipun hanya mencatat dua lompatan sah manakala empat lagi dibatalkan.
Atlet kebanggaan Perlis itu batal di lompatan pertama kemudian mencatat 6.94m dan 7.39m sebelum tiga lagi batal.
Ia juga adalah pingat emas ketiga kontinjen negara di pentas Sukan Para Asia kali ini selepas pelumba berbasikal trek para, Zuhairie Ahmad Tarmizi dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin.
Pingat perak dimenangi Hassan Dawshi dari Arab Saudi dengan catatan 7.03m dan gangsa pula diraih atlet Jepun, Kanta Kokubo (6.98m).
Dua lagi wakil negara, Eljoe Gotuoh dan Nik Mohd Zahari terpaka akur terlepas podium selepas masing-masing meraih tempat keempat serta ketujuh. – PODIUM ON TOUR