DANISH AIMAN memiliki lima kaps senior antarabangsa ketika beraksi pada Sukan SEA Kemboja 2023. - MHC
POTENSI besar dimiliki Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar menjadi salah satu faktor namanya terpilih dalam senarai 21 pemain skuad hoki lelaki negara ke Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir dari 1 hingga 7 Mac ini.
Danish Aiman antara enam pemain dipilih pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh untuk menggalas tanggungjawab di jentera serangan bersama Faizal Saari, Azrai Aizad Abu Kamal, Akhimullah Anuar Esook, Norsyafiq Sumantri dan Ashran Hamsani.
Penyerang berusia 20 tahun berasal dari Bagan Serai, Perak itu pastinya mampu menjadi aset tambahan buat Speedy Tigers berdasarkan pengalamannya beraksi di dua pentas Piala Dunia Remaja sebelum ini.
Bukan itu sahaja, Danish Aiman turut diberikan tanggungjawab menjadi kapten skuad Young Tigers pada Piala Dunia Remaja 2025 di Tamil Nadu, India.
Sebelum pengumuman rasmi daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini (16 Februari), Sarjit pernah berkongsi ‘kesukarannya’ untuk melengkapkan senarai penuh disebabkan prestasi cemerlang beberapa pemain baharu termasuk Danish Aiman.
“Kita ada empat pemain baru yang bermain bagus. Andy (Andywalfian Jeffrynus), Azim (Azimuddin Syakir Kamaruddin), Adam (Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari), Danish (Danish Aiman).
“Pemain-pemain senior juga bagus, ini bermakna kita akan ada bangku simpanan yang kuat sekali gus memberikan kita peluang besar di sana nanti,” katanya kepada Podium on Tour.
Menariknya, kesemua empat nama disebut Sarjit tersenarai dengan Adam Ashraf mungkin mengisi slot pemain +1 (simpanan) dan perlu bersiap sedia menggantikan mana-mana pemain jika berlaku kecederaan pada kelayakan nanti.
Skuad negara yang akan berlepas pada Jumaat ini, akan menghadapi dua aksi persahabatan menentang Mesir dan Jepun pada 23 serta 26 Februari ini sebelum memulakan saingan Kumpulan B.
Malaysia di ranking ke-13 dunia, akan berentap dengan Austria (1 Mac) diikuti dua seteru Asia, Pakistan (2 Mac) dan China (4 Mac) dalam misi memburu dua tempat teratas untuk mara ke separuh akhir.
Hanya tiga pasukan terbaik kejohanan akan mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Belanda-Belgium pada Ogos nanti. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MHC
1 thought on “Bakat Danish Aiman ‘senjata rahsia’ Speedy Tigers”
Comments are closed.