FAIZAL (kiri) menjadi watak penting Malaysia pada Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir bulan depan. - MHC
PENYERANG berpengalaman, Faizal Saari tidak mengalami kecederaan serius yang boleh menjejaskan peluang skuad hoki negara pada Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir bermula 1 hingga 7 Mac ini.
Sebelum ini Faizal dikatakan mengalami masalah di bahagian lutut, namun ia bukanlah satu perkara membimbangkan kerana kelibatnya sudah kelihatan dalam sesi latihan Speedy Tigers sejak minggu lepas.
Faizal, 35, sendiri menjelaskan ia cuma kecederaan ringan dan dia juga dilihat mengambil bahagian dalam latihan pukulan sudut penalti pada minggu lepas selain turut menjalani perlawanan simulasi bersama skuad utama hari ini.
“(Tiada pembedahan) lutut hanya bengkak sedikit. Minggu lepas kena (cedera) hari Selasa, saya rehat dua, tiga hari dan sekarang dah kembali.
“Saya bersyukur bukan masalah besar, cuma kecederaan biasa,” kata Faizal yang ditemui Podium on Tour selepas tamat sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil petang tadi (9 Februari).
Begitupun, ‘mesin gol’ Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu masih belum berpuas hati dengan tahap kecergasannya dalam usahanya mengejar pemain-pemain lain selepas hampir sembilan bulan bersara sebelum kembali pada November tahun lalu.

Disebabkan faktor usia dan persaingan sengit dalam skuad utama, Faizal yang pernah diangkat sebagai salah seorang wonderkid dunia hoki, terpaksa bergantung kepada pengalaman.
“Fasa recovery (pemulihan) sangat penting sebab saya kena ambil masa (lebih). Orang lain (recovery) satu hari tetapi saya mungkin satu hari setengah atau dua hari. Saya kena gunakan pengalaman untuk situasi sekarang,” jelasnya.
Di Kelayakan Piala Dunia 2026, Speedy Tigers, No.13 dunia, akan bersaing dengan Pakistan (No.14), Austria (No.21) dan China (No.23) dalam saingan Kumpulan B.
Skuad kendalian Sarjit Singh itu perlu menghuni dua teratas untuk layak ke separuh akhir yang mana hanya tiga pasukan terbaik kejohanan meraih tiket ke Piala Dunia 2026 di Wavre, Belgium dan Amstelveen, Belanda pada Ogos depan.
Layak ke Piala Dunia 2026 amat penting buat Faizal dan dua lagi tonggak senior, Marhan Jalil dan Faiz Helmi Jali kerana ia bakal menjadi penampilan keempat buat mereka selepas edisi The Hague 2014, Bhubaneswar 2018 dan Bhubaneswar-Rourkela 2023. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
2 thoughts on ““Lutut okey – Faizal”, berita baik buat Speedy Tigers”
Comments are closed.