BARISAN pemain Pahang meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan B-21 selepas aksi final di Stadium Hoki Nasional pada Sabtu lalu. - MHC
KEJAYAAN Pahang menjuarai Kejohanan Hoki 5 Sebelah (5s) Kebangsaan bawah 21 tahun (B-21) 2026 berakhir Sabtu lalu membuktikan negeri itu layak diangkat sebagai ‘kilang’ hoki baharu.
Pahang di bawah bimbingan Mohd. Sufian Mohamad, gelaran kejohanan julung kali dianjurkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu menambahkan satu lagi koleksi dalam kabinet trofinya untuk saingan bawah peringkat umur.
Bagi Sufian, semua kejayaan Pahang terutamanya melalui Akademi Hoki Sekolah Sukan Negeri (AHSSN) Pahang Thunderbolts tidak akan berjaya jika bukan hasil cetusan idea Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Pahang kini menjadi pusat pembangunan bakat hoki muda.

“Inisiatif ini dicetuskan oleh Sultan Pahang pada 2012 dengan penubuhan AHP (AHSSN Pahang Thunderbolts). Matlamat utama adalah melahirkan pemaim yang mewakili pasukan kebangsaan selepas 10 tahun penubuhan.
“Hasilnya terlihat apabila ramai pemain AHP (AHSSN Pahang Thunderbolts) mewakili skuad remaja kebangsaaan, contohnya enam pemain AHP beraksi di Piala Dunia Hoki Remaja tahun lepas (di India pada 2025),” katanya.
Pada final Kejohanan Hoki 5s B-21 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu, Pahang mengesahkan gelaran hasil kemenangan 2-1 ke atas Perak menerusi dua jaringan awal Shafiq Ammar Fahmi Suzaini dan Iman Faris Faizo pada minit ketiga serta tujuh.
Bagi kategori wanita, Pahang bimbingan adik kepada Sufian iaitu Mohamad Sabri Mohamad turut cemerlang apabila muncul naib juara selepas tewas 1-4 kepada Negeri Sembilan dalam aksi final.

Menariknya, Pahang turut menggondol empat anugerah khas kejohanan menerusi Mohamad Nor Syakir Hafiz (Pemain Terbaik Final Lelaki); Muaz Bashir Shabri (Penjaga Gol Terbaik Lelaki); Nur Qistina Syamimi Muhamad Razlan (Penjaga Gol Terbaik Wanita) dan Nur Fazrina Natasya Badrul Hisham (Pemain Terbaik Wanita).
Mengulas lanjut, Sufian mendedahkan kejayaan Pahang muncul juara edisi pertama itu disebabkan persediaan rapi dan program pembangunan sistematik di AHSSN Pahang Thunderbolts sejak 2012 dengan visi jelas serta struktur latihan yang seragam.
“Kejayaan pertama AHP (AHSSN Pahang Thunderbolts) sebenarnya mengambil masa sekitar empat hingga lima tahun dengan membina asa kukuh terlebih dahulu supaya ada kesinambungan kejayaan.
“Fokus utama adalah pembangunan pemain di AHP untuk dibekalkan kepada skuad kebangsaan. Tanggungjawabnya berat kerana perlu mengurus semua peringkat umur (B14, B16, B18), namun dilakukan atas dasar minat dan demi merealisasikan hasrat Tuanku Sultan menjadikan Pahang gergasi hoki negara.

“Untuk hoki 5s, kami juga berharap dapat permohonan untuk fasiliti latihan dengan menyediakan kelengkapan mencukupi yang mana ia akan membantu pasukan menjadi lebih baik dan bersedia pada masa depan,” tambah Sufian.
Sebagai rekod, Sufian hanya menanti peluang untuk mendakap trofi Liga Hoki Remaja Malaysia yang akan diadakan sekitar Mei depan untuk melengkapkan kejuaraan di peringkat bawah umur.
Secara keseluruhan, Sufian bersama-sama Pahang dan AHSSN Pahang Thunderbolts pernah memenangi Sukan Malaysia (Sukma), Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) B-18 dan Liga Super Program Pembangunan Hoki (NHDP) B-17.
Beliau juga pernah merangkul kejuaraan Kejohanan Hoki B-14 dan B-16 Kebangsaan termasuk membawa Pahang ke ke final Sukma tiga kali berturut-turut sejak 2018 serta Piala Tun Abdul Razak empat kali berturut-turut bermula 2022.
Produk Pahang juga antara penyumbang utama skuad kebangsaan meraih pingat pada Sukan SEA Thailand 2025, Disember lalu menerusi 12 pemain termasuk lelaki dan wanita dalam acara hoki 5s, padang serta dalam dewan. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MHC