BARISAN pemain Universiti Ramkhamhaeng meraikan kejayaan mereka muncul juara Piala Badminton Universiti Jemputan ASICS 2026 hari ini.
WAKIL Thailand, Universiti Ramkhamhaeng muncul juara Piala Badminton Universiti Jemputan ASICS 2026 menewaskan HELP University 2-0 pada final di Akademi Badminton Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras hari ini (28 Jun).
Ramkhamhaeng menurunkan beregu campuran, Vichayapong Kanjanakeereewong-Pichamon Phatcharaphisutsin sebagai gandingan pertama dalam acara berpasukan itu.
Ternyata, pengalaman mereka menjadi perbezaan utama terutamanya Pichamon yang pernah menjuarai Siri Antarabangsa Sri Lanka 2024 dan Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2024 dalam kategori beregu wanita bersama Nannapas Sukklad.
Hasilnya, Vichayapong-Pichamon menang 15-6, 15-4 ke atas beregu campuran HELP University, Goh Yang Hong-Venosha Radhakrishnan.
“Saya gembira dengan keseluruhan persembahan hari ini selain saya juga dapat merasai pengalaman yang baharu dan bertemu ramai sahabat dari Malaysia.
“Jika saya terpilih ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Malaysia hujung tahun ini, saya harap dapat beri keputusan yang baik untuk meraih satu lagi kejayaan buat Thailand,” kata Vichayapong kepada Podium On Tour.
Gandingan kedua universiti dari Bangkok itu kemudiannya mempertaruhkan beregu lelaki, Ponsakorn Thongkham-Sirawit Sothon yang menang 15-9, 15-10 ke atas wakil HELP, Brandon Hee Hek Yong-Poopathi Velayutham.
“Satu pengalaman yang bagus buat kami untuk acara berpasukan kali ini dan kami juga telah berikan tentangan yang baik kepada Thailand di final. Tahun depan kami akan turun dan perbaiki lagi prestasi kami,” kata Poopathi.
Tempat ketiga Piala Badminton Universiti Jemputan ASICS 2026 menjadi milik satu lagi wakil Thailand, Universiti Bangkok Thonburi menewaskan Taylor’s Tiger dari Universiti Taylor dengan keputusan 2-0.
Beregu campuran Thonburi, Thanawin Madee-Worakorn Chitcharoen menghadiahkan mata pertama selepas menewaskan Yeow Chun Cher-K. Nilasha 15-6, 15-5.
Narueset Laotherdpong-Wonsathorn Thongkham memastikan kemenangan buat Thonburi selepas menewaskan beregu lelaki Taylor, Vincent Tan Wee Sheng-William Tanady 15-8, 15-13. – PODIUM ON TOUR