KUARTET 4x400m Universiti Putra Malaysia menjadi atlet terakhir memecahkan rekod kejohanan pada saingan VTF 1 2026 di USM pada Ahad lalu. - SUKAN IPT
VARSITY Track & Field (VTF) 2026 yang kini memasuki edisi kelima dilihat ada potensi berkembang menjadi seperti National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Amerika Syarikat (AS).
NCAA sudah bertapak selama 120 tahun sejak ia mula ditubuhkan pada 1906 sebagai badan utama mengawal selia sukan universiti di AS supaya pertandingan menjadi lebih tersusun dan adil.
Fokus utamanya adalah gabungan akademik dan sukan kerana atlet masih pelajar universiti sebelum NCAA itu berkembang dari masa ke masa menjadi sistem besar.
Penglibatan dalam NCAA amat penting kerana selain biasiswa pendidikan atlet, ia juga boleh menjadi laluan utama ke liga profesional seperti NBA, NFL, MLB hingga menjadi fenomena nasional untuk sesetengah sukan.
Dalam konteks olahraga, NCAA adalah platform utama pembangunan dan dilatih oleh jurulatih profesional dengan fasiliti universiti yang lengkap memastikan mereka bertanding secara konsisten sepanjang tahun.
Kebanyakan universiti di sana bukan saja mempunyai trek standard antarabangsa tetapi turut dilengkapi sains sukan, fisio, nutrisi dan pendedahan yang tinggi mampu menarik minat pencarian bakat.

Ramai bintang dunia lahir daripada sistem NCAA seperti legenda pecut wanita AS, Allyson Felix; bekas juara dunia 100 meter (m), Christian Coleman dan pemegang rekod dunia 400m berpagar wanita, Sydney McLaughlin-Levrone.
Contoh terbaik adalah pemegang rekod 100m kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang menjadi satu-satunya atlet olahraga Malaysia mendapat biasiswa pendidikan di Universiti Auburn dan bersaing di pentas NCAA.
Hasilnya cukup lumayan kerana Azeem bukan sahaja menimba pelbagai ilmu berguna tetapi turut menjadi juara bertahan dua edisi berturut-turut bersama kuartet 4x100m Universiti Auburn.
MAMPUKAH VTF JADI SEPERTI NCAA?
Dalam beberapa tahun kebelakangan, VTF semakin mendapat tempat dalam landskap olahraga universiti di Malaysia.
Ketua Penyelaras VTF, Malik Tobias mengakui kualiti kejohanan semakin meningkat berdasarkan rekod demi rekod berjaya dipecahkan sepanjang lima edisi termasuk VTF 1 2026 di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dari 17-19 April lalu.
“NCAA dah lama bertapak, dah terkemuka dari segi penjenamaan. VTF pula dah masuk edisi kelima dan mula dapat perhatian penggiat sukan tanah air terutama pencinta olahraga.
“Takwim kejohanan pun dah masuk dalam MA (Olahraga Malaysia) dan dalam masa sama kita dah daftar bawah World Athletics, jadi orang lagi berikan perhatian.

“Siri 1 kita dapat sambutan luar biasa, 39 pasukan dan 450 atlet keseluruhan, ini menunjukkan ada peningkatan termasuk penyertaan 5 ke 6 pasukan baharu,” katanya kepada Podium On Tour.
Dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, VTF menghimpunkan atlet-atlet IPT dalam format bersiri sebelum kemuncak Grand Final menunjukkan usaha ke arah sistem yang lebih tersusun dan kompetitif.
Sejak diperkenalkan sekitar 2022, VTF berfungsi sebagai platform utama atlet universiti negara bersaing, bukan sekadar kejohanan biasa, tetapi juga laluan penting ke pentas antarabangsa seperti Sukan Universiti Dunia.
Biarpun diakui ada beberapa kekangan, namun VTF masih boleh menjadi versi NCAA Malaysia dan model terbaik di Asia Tenggara untuk sukan peringkat universiti.
VTF masih memerlukkan masa walaupun ketika ini dilihat berada di landasan tepat untuk matang sepenuhnya dan membuktikan nilai sebagai pentas pembangunan atlet. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – SUKAN IPT / AUBURN UNIVERSITY