WHITNEY (tengah) bersama trofi dimenangi pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa SRAFTKL 2026 di Pusat Skuasy Jalan Duta hari ini (5 April). - SRAFTKL
BINTANG muda skuasy negara, Whitney Isabelle Wilson mendedahkan dia menerima lamaran daripada Universiti Harvard, Universiti Columbia, Universiti Princeton dan Universiti Stanford.
Namun, Whitney yang menjuarai gelaran bawah 19 tahun (B19) wanita Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa SRAFTKL 2026 hari ini (5 April) di Pusat Skuasy Jalan Duta masih lagi mempertimbangkan keputusan terbaik.
“Saya cakap (komunikasi) dengan semua (university), nanti bila ada keputusan barulah saya pilih. Universiti tempatan juga okey kerana saya boleh seimbangkan skuasy dan pelajaran,” katanya kepada Podium On Tour.
Whitney, 18, yang meraih keputusan 6A 2B dalam peperiksaan SPM 2025 baru-baru ini, menganggap kejayaannya menjuarai Terbuka Remaja Antarabangsa SRAFTKL 2026 adalah satu permulaan positif bagi tahun 2026.

Biarpun berehat tiga bulan kerana kecederaan, pengalaman dimiliki pemain dari Kuching, Sarawak itu membolehkannya menewaskan seorang lagi wonderkid berusia 15 tahun, Jironeeka Ning 12-10, 6-11, 11-5, 11-4.
“Dia (Jironeeka) sangat berbakat dan salah seorang remaja terbaik di Malaysia. dia juga sangat kompetitif tetapi saya fikir pengalaman memainkan peranan yang membolehkan saya bermain lebih baik,” jelas Whitney.
Tempat ketiga dimenangi oleh Arissa Faris Syed Kebir selepas menewaskan Dakshayani Thangaraja 8-11, 11-9, 11-7, 11-8.
Dalam masa sama, kejayaan itu meningkatkan keyakinan Whitney yang akan turun sebagai pilihan kesembilan pada HCL Squash PSA Challenger Tour di Chennai, India dari 16 hingga 20 April ini.
Whitney yang kini di ranking 237 dunia, akan membuka gelanggang menentang pemain India, Aarika Mishra di pusingan pertama. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – SRAFTKL