MIKAYLA bakal menggalas cabaran negara di Piala Super Ohvale Guangzhou 2026 di Litar Antarabangsa Guangzhou Conghua dari 17 sehingga 23 Ogos ini.
PELUMBA muda, Mikayla mencipta pencapaian membanggakan apabila terpilih sebagai satu-satunya pelumba wanita yang akan membawa cabaran Malaysia dalam kejohanan antarabangsa Piala Super Ohvale Guangzhou di China pada 17 Ogos ini.
Pengurus M8 Racing Team, Nik Azma Nik Day berkata, pemilihan Mikayla atau nama penuh Wan Adra Mikayla Wan Mohd Muzri dibuat berdasarkan merit dan prestasi konsisten yang dipamerkannya sepanjang saingan SIC Ohvale Championship 2026.
Menurutnya, kejohanan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 120 pelumba muda dari 30 negara sekali gus menjadi pentas penting buat Mikayla menguji kemampuan berdepan pelumba terbaik dari seluruh dunia.
Piala Super Ohvale Guangzhou 2026 bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Guangzhou Conghua, China pada 17 sehingga 23 Ogos depan.
“Pemilihan Mikayla bukan dibuat semata-mata untuk melengkapkan penyertaan Malaysia. Dia dipilih berdasarkan merit selepas menunjukkan potensi serta prestasi konsisten dengan sentiasa berada di podium dalam Kejuaraann SIC Ohvale 2026.
“Ini peluang besar untuk dia membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa dan membawa nama negara,” katanya.
Nik Azma berkata, perjalanan Mikayla untuk sampai ke tahap tersebut bukan mudah terutama apabila berdepan kekangan mendapatkan lokasi latihan yang sesuai selain kos tinggi untuk menjalani latihan di litar utama.
“Antara cabaran terbesar Mikayla sebelum ini adalah untuk mencari tempat latihan. Kos untuk berlatih di litar utama juga agak tinggi dan keadaan itu sedikit sebanyak menjadi halangan untuk dia mendapatkan masa latihan yang mencukupi.
“Dengan sokongan APDcrew Circuit, Mikayla kini mempunyai tempat untuk menjalani latihan dan ia sangat membantu dalam persiapannya membawa cabaran Malaysia,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor Incorporation atas peruntukan kewangan kepada Mikayla membantu perkembangan kariernya selain Terengganuku Comey dan kerajaan negeri Terengganu menaja Team 4 Racing bagi penyertaan dalam pertandingan di Malaysia.
Dalam usaha memperkemaskan kemahiran dan teknik perlumbaan, Mikayla turut mendapat tunjuk ajar daripada Azlan atau lebih dikenali sebagai Lan Jawa, bapa kepada pelumba muda negara, Qabil Irfan.
Qabil sebelum ini mencipta nama di pentas antarabangsa menerusi kejayaannya dalam saingan FIM MiniGP World Series, sekali gus menjadikan pengalaman dan bimbingan Azlan cukup bernilai dalam membantu perkembangan Mikayla.
Tambah Nik Azma, pihaknya berharap lebih banyak syarikat korporat dan individu tampil memberikan sokongan kepada Mikayla memandangkan penyertaan di peringkat antarabangsa memerlukan perbelanjaan besar terutama melibatkan latihan, logistik dan persiapan perlumbaan.
“Kami masih membuka ruang kepada mana-mana pihak yang mahu bersama-sama membantu perjalanan Mikayla. Setiap bentuk tajaan amat bermakna kerana ini bukan sekadar mengenai seorang pelumba, tetapi usaha membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Mana-mana pihak yang berminat untuk memberikan tajaan kepada Mikayla boleh menghubungi M8 Racing Team,” katanya.
Nik Azma dalam masa sama mengiktiraf peranan ZK Racing yang selama ini bertanggungjawab dalam usaha mengetengahkan pelumba-pelumba terbaik Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, komitmen ZK Racing bukan sahaja tertumpu kepada penyertaan pelumba, malah turut memainkan peranan dalam penganjuran kejohanan yang menjadi platform penting untuk mencungkil serta melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam arena permotoran negara. – PODIUM ON TOUR