HARRIS menyasarkan dua pingat emas buat Wilayah Persekutuan pada SUKMA Selangor kali ini.
TEMASYA Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bermula 15 Ogos ini menjadi pentas yang amat bermakna buat atlet lawan pedang dalam pembikinan, Muhammad Harris Mikhail Shahril Nizam dalam menggapai impiannya di masa depan.
Bagi Harris, SUKMA 2026 bakal menjadi platform terbaik untuk dia memperagakan kemampuannya dalam perjalanan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa terutamanya Sukan SEA di laman sendiri tahun depan.
Justeru, atlet berusia 17 tahun itu yang akan turun bersaing dalam kategori epee, menyasarkan dua pingat emas bagi acara individu dan berpasukan buat Wilayah Persekutuan.
Segalanya tidak mustahil buat Harris memandangkan dia pernah memenangi pelbagai pingat dari peringkat umur 16 tahun (B16), B17, B20 dan B21 di peringkat kelab serta negeri.
Bagaimanapun, Harris yang berlatih di Blade Fencing Club dan bersekolah di SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara, enggan mengambil mudah kerana ini adalah penampilan pertamanya di pentas SUKMA.
Pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh Harris termasuk kekangan kewangan dan tajaan dari segi kelengkapan, yuran latihan dan pertandingan yang kebanyakannya ditanggung sepenuhnya oleh keluarga.
Kini, masanya sudah tiba buat Harris membalas segala lelahnya dalam latihan, pengorbanan keluarga, bimbingan jurulatih serta sokongan semua yang sentiasa percaya pada potensi besar dimilikinya.
Perjalanannya masih panjang, tetapi impian untuk mewakili Malaysia di pentas lebih besar semakin hampir menjadi kenyataan. – PODIUM ON TOUR