SZE FEI (kiri) dan Izzuddin terpaksa akur tewas mengejut kepada beregu tidak ternama dari Thailand seawal pusingan pertama BAC hari ini (8 April). - BADMINTON ASIA
IMPIAN Malaysia untuk merangkul Piala Thomas di Horsens, Denmark hujung bulan ini tampak tidak meyakinkan selepas beberapa sandaran utama negara tersingkir awal di Kejohanan Badminton Asia (BAC) sedang berlangsung di Ningbo, China.
Tumpuan pusingan pertama yang berlangsung di Pusat Olimpik Ningbo hari ini (8 April) terarah kepada dua perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh.
Jun Hao tampil dengan prestasi mengecewakan, tumpas mudah kepada Jonatan Christie dari Indonesia 13-21, 8-21.
Justin pula cuba berikan tentangan sengit ke atas bintang muda Indonesia, Alwi Farhan, namun tidak cukup apabila tewas 19-21, 21-14, 18-21.
Beregu lelaki No. 6 dunia, Man Wei Chong tampak masih belum cergas sepenuhnya dengan kaki kanannya berbalut ketika turun bergandingan dengan Tee Kai Wun.
Mereka tewas 18-21, 18-21 kepada He Jiting-Ren Xiangyu dari China yang kembali tampil semula selepas terpalit dengan kontroversi pada tahun lalu.
Begitu juga Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang masing-masing merebut slot akhir ke Piala Thomas.
Kedua-duanya tersungkur tatkala memiliki kelebihan untuk menang dengan Arif-Roy King tewas kepada pasangan adik beradik dari Taiwan, Lee Fang Jen-Lee Fang Chih 17-21, 21-17, 20-22.
Nasib sama dialami Sze Fei-Izzuddin apabila tewas mengejut kepada pasangan Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa-nga, 22-24, 21-18, 11-21.
Hanya Aaron Chia-Soh Wooi Yik sahaja daripada skuad Piala Thomas yang akan meneruskan perjuangan di pusingan kedua menentang pasangan tuan rumah, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi. – PODIUM ON TOUR
KEPUTUSAN
PUSINGAN PERTAMA BAC
Perseorangan lelaki
Leong Jun Hao kalah Jonatan Cristie; 13-21, 8-21
Justin Hoh kalah Alwi Farhan; 19-21, 21-14, 8-21
Perseorangan wanita
K. Letshanaa menang Tanvi Sharma; 21-19, 21-14
Goh Jin Wei kalah Tomoya Miyazaki; 12-21, 15-21
Wong Ling Ching kalah P.V. Sindhu; 21-15, 11-21, 19-21
Beregu lelaki
Aaron Chia-Soh Wooi Yik menang Chiu Hsiang-chieh-Wang Chi-lin; 21-15, 21-15
Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King kalah Lee Fang Jen-Lee Fang Chih; 17-21, 21-17, 20-22
Man Wei Chong-Tee Kai Wun kalah He Jiting-Ren Xiangyu; 18-21, 18-21
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kalah Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa-nga; 22-24, 21-18, 11-21
Beregu wanita
Pearly Tan-M. Thinaah menang Fan Ka Yan-Yau Mau Ying; 21-14, 21-11
Low Zi Yu-Nur Aqilah Maisarah Ramdan kalah Hsieh Pei-shan-Hung En-tzu; 12-21, 16-21
Beregu campuran
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menang Haruki Kawabe-Kokona Ishikawa; 21-10, 21-19
Goh Soon Huat-Shevon Lai menang Rohan Kapoor-Ruthvika Shivani Gadde; 21-13, 21-19
Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien menang Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh; 21-16, 21-15
Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kalah Kim Jae-hyon-Jang Ha-jeong; 14-21, 6-9 (tarik diri)
KREDIT FOTO – BADMINTON ASIA