NAWAWI kini menyertai program pelapis kebangsaan di bawah bimbingan Hup Wei. - IG SCENIO.PLUS
BINTANG olahraga dalam pembikinan, Mohamad Nawawi Mohamad mempunyai potensi besar untuk meneruskan legasi jurulatihnya yang juga legenda lompat tinggi negara, Lee Hup Wei pada masa depan.
Kini, sasaran awal Hup Wei adalah melayakkan Nawawi, 18, ke Kejohanan Dunia Bawah 20 tahun (B20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat dari 5 hingga 9 Ogos.
Ini bermakna atlet dari Langkawi, Kedah itu perlu sekali lagi mengulangi rekod terbaiknya, 2.12 meter (m) yang mana ia adalah had kelayakan ditetapkan sebelum tarikh tutup pada Julai depan.
Hup Wei mengakui, semangat pemenang pingat emas MSSM 2024 dan 2025 itu cukup tinggi hinggakan berani meletakkan sasaran tinggi di Terbuka Singapura pada 15 hingga 17 April ini.
“Saya nak dia lepas sekurang-kurangnya 2.05m untuk kejohanan pertama tahun ini di Singapura walaupun sasarannya sendiri cukup tinggi 2.15m.
“Fokus kita nak dia layak ke Kejohanan Dunia B20. Untuk Asia B20 mungkin tidak sempat, tapi Dunia B20 masih ada masa hingga Julai. Jadi Terbuka Malaysia adalah peluang terakhir,” kata Hup Wei kepada Podium On Tour.
Berdasarkan had kelayakan ditetapkan Olahraga Malaysia, Nawawi perlu melepasi ketinggian 2.15m untuk layak ke Kejohanan Asia B20 2026 di Hong Kong dari 28 hingga 31 Mei dan secara tak langsung ke Kejohanan Dunia B20.
Selain Nawawi yang berada dalam program pelapis kebansgaan, dua lagi anak didik Hup Wei akan beraksi di Singapura nanti ialah Jyh Yunn Kann dan Melissa Choong En Xuan. – PODIUM ON TOUR
Nawawi Mohamad
PB 2.12m
Pencapaian semasa
Emas MSSM 2024
Emas MSSM 2025
Emas SEA U20 2025
KREDIT FOTO – IG SCENIO.PLUS