HAZIQ (tengah) meraikan kejayaannya bersama Reeve (kiri) dan Daniel selepas majlis penyampaian hadiah 200m VTF 2 di UnisZA hari ini (7 Jun). - SUKAN IPT
PELARI pecut Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Haziq Mohamad Akhir kini antara nama yang perlu diberi perhatian dalam arena olahraga tanah air selepas menyambar ranking pertama 200 meter (m) Malaysia setakat tahun ini.
Haziq, 23, mencetak masa 21.01 saat (s) untuk memenangi aksi final 200m Varsity Track & Field (VTF) 2 di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Terengganu hari ini (7 Jun).
Ia bukan sahaja rekod baharu kejohanan, memadam rekod lama 21.20s dicipta Umar Osman tahun lalu, malah ia adalah catatan tahunan terpantas (SB) atlet-atlet Malaysia untuk tahun ini.
Pastinya ia satu kenangan yang cukup manis buat Haziq kerana ini adalah kali pertama dia bergelar raja pecut berganda selepas turut memenangi 100m dengan catatan 10.67s pada Jumaat lalu.
“Sebab sebelum VTF 2, sasaran saya untuk 200m cuma PB (rekod peribadi) baharu, apatah lagi nak menang dua pingat.
“Reaksi saya memang sangat terkejut sebab sasaran saya jauh daripada jangkaan, saya cuma mampu bersyukur dengan kejayaan ini,” kata Haziq yang mempunyai PB lama 21.80s kepada Podium On Tour.
Pingat perak 200m VTF 2 dimenangi Reeve Kua Man Hong (UPM) dengan masa 21.47s, manakala gangsa menjadi milik pelari Universiti Multimedia (MMU), Muhammad Daniel Haqiem Azman (21.52s).
Untuk tahun ini, catatan 21.01s Haziq itu adalah masa 200m terpantas Malaysia, mengatasi Azeem Fahmi yang pernah mencatat 21.09s dalam saingan Tiger Track Classic di Auburn, Amerika Syarikat pada April lalu.
Pemegang rekod 200m kebangsaan dengan catatan 20.73s, Danish Iftikhar Muhammad Roslee pmempunyai SB 21.27s di Kejohanan Asia B20 bulan lalu selain pernah mencatat 21.11 dengan bantuan angin di VTF 1.
Muhammad Sayyid Amin Roslan pula mencatat 21.28s yang mana ia adalah PB dan SB buat dirinya sewaktu Kejohanan Asia B20 bulan lalu. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – SUKAN IPT