REEVE (kiri) akan bersaing dalam acara 100m dan 4x100m di Kejohanan Olahraga Asia B23 2026 di Ordos, China dari 9 hingga 12 Julai ini. - OLAHRAGA MALAYSIA
SEPERTI impian menjadi kenyataan, itulah dirasai Reeve Kua Man Hong apabila diberi peluang mewakili Malaysia bersama idolanya, Azeem Fahmi pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun (B23) 2026 di Ordos, China dari 9 hingga 12 Julai ini.
Tujuh tahun lalu di usia 15 tahun, nama Azeem mula ‘meletup’ hingga diberi gelaran ‘Usain Bolt Malaysia’ menerusi pelbagai kejayaan terutama di peringkat MSSM dan Sekolah Sukan ASEAN (ASG) 2019.
Berbeza buat Reeve yang ketika itu tidak berjaya ke final MSSM B15, namun dia terus berusaha tanpa henti sehinggalah ‘bulan jatuh ke riba’ mewakili Malaysia bersama Azeem bagi acara 100m dan 4x100m Asia B23.
Justeru, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mahu memanfaatkan peluang keemasan itu dengan mencipta rekod baharu 4x100m Malaysia sekali gus mengukir namanya sebagai salah seorang pemegang rekod kebangsaan.
“Gementar memang ada sebab ini bukan tahap negeri tapi antarabangsa. Sangat bersyukur dapat satu pasukan dengan idola saya Azeem Fahmi dan saya akan beri yang terbaik untuk bawa pulang sesuatu buat Malaysia.
“Sejujurnya tak sangka dapat wakil Malaysia bersama Azeem Fahmi. MSSM pertama 2019, saya final pun tak masuk tapi tengok Azeem macam bintang, sekarang dapat jadi satu pasukan, rasa seperti impian jadi kenyataan.
“Sudah tentu mahu pecahkan rekod kebangsaan sebab kami ada pelari terpantas di Malaysia. Jika pertukaran baton kami lancer, saya percaya ia boleh dilakukan,” katanya eksklusif kepada Podium On Tour.
Selain Reeve dan Azeem, Malaysia turut menghantar Pengiran Aidil Auf Hajam bagi acara 200m, Muhammad Armin Zahryl Abdul Latif (110m berpagar), Elvin Yap Zhi Ying (110m berpagar) dan Muhammad Fakrul Afizul Nasir (400m berpagar).
Mereka juga akan beraksi untuk 4x100m dalam cubaan memadam rekod kebangsaan 39.03s dicipta Pengiran, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Jonathan Nyepa, Aliff Iman Fahimi Ketika meraih perak Sukan SEA Thailand 2025.
Percubaan terbaik setakat ini menerusi gandingan Azeem, Pengiran, Armin dan Danish dengan catatan 39.16s, namun Danish tidak boleh beraksi pada Asia B23 disebabkan peraturan had umur antara 20 hingga 22 tahun. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – OLAHRAGA MALAYSIA