SABRINA gembira memenangi pingat emas SUKMA 2026 dengan catatan 1.72m di Stadium UPM pada 19 Ogos.
PERSAINGAN acara lompat tinggi wanita Malaysia kini kembali rancak selepas kejayaan Nur Sabrina Najwa Efrudin memenangi pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan catatan 1.72 meter (m).
Menariknya, kejayaan itu meletakkan Sabrina di ranking kedua lompat tinggi Malaysia tahun 2026, di belakang atlet berpengalaman negara yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Thailand 2025, Norliyana Kamaruddin.
Biarpun rekod peribadi (PB) 1.82m, tetapi catatan tahunan terbaik(SB) Norliyana tahun ini adalah 1.75m sewaktu menjuarai Terbuka Malaysia 2026 pada Jun lalu.
Kini, Sabrina yang baru berusia 19 tahun dari Johor, muncul atlet lompat tinggi wanita kedua negara berjaya melepasi had ketinggian 1.70m untuk tahun ini.
Dia sekali gus memintas ranking Melissa Choong En Xuan, 22, yang mempunyai PB dan SB 1.65m serta Ku Yee Aleng, 21, yang melepasi 1.66m ketika sesi percubaan SUKMA Sabah pada Mei lalu.
Ranking lompat tinggi Malaysia 2026
Norliyana Kamaruddin – 1.75m
Sabrina Najwa Effrudin – 1.72m
Ku Yee Aleng – 1.66m
Melissa Choong – 1.65m
Chloe Then Shiang Yee – 1.62m
Audrey Siew Sze Ling – 1.62m
Nurul Ain Batriesya Rosdy – 1.60m
*Info setakat 22 Ogos 2026
Ku Yee Aleng dari Sabah yang menjadi calon pilihan kerana status sebagai juara SUKMA 2024, kali ini terpaksa akur meraih pingat perak dengan catatan 1.66m dan gangsa pula dimenangi atlet Sarawak, Chloe Then Shiang Yee (1.62m).
Jika sebelum ini ramai meluahkan kebimbangan terhadap masa depan lompat tinggi wanita negara selepas pemegang rekod kebangsaan, Yap Sean Yee bersara Mei lalu, meninggalkan Norliyana berseorangan.
Mungkin sekarang sudah tiba era generasi muda antara Sabrina, Melissa dan Ku Yee Aleng bersiap sedia daripada sekarang untuk menggantikan Norliyana yang kini sudah berumur 35 tahun.
Perebutan slot mewakili negara juga pastinya menarik antara mereka bertiga untuk mengiringi Norliyana ke Sukan SEA Malaysia 2027 tahun depan. – PODIUM ON TOUR