AZEEM FAHMI berjaya memenangi pingat emas 100m Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun (B23) di Ordos, China pada Julai lalu. - TRACK PHOTO
PELARI terpantas negara, Muhammad Azeem Fahmi diramal mempunyai peluang untuk mempertahankan pingat gangsanya pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam acara 100 meter (m) yang akan bermula 24 September ini.
Perkara itu diakui jurulatih pecut olahraga kebangsaan dari Afrika Selatan, Thabo Matebedi berdasarkan progres ditunjukkan Azeem, 22, dalam sesi latihan ketika ini.
“Ada peluang besar untuk Azeem kekalkan pingat gangsa. Dia berada dalam keadaan yang baik, dia cuma perlu tampil dengan mentaliti tepat pada hari pertandingan. Kalau fizikal, saya lihat dalam latihan ialah 10 daripada 10,” katanya.
Pada edisi Hangzhou 2022, pingat emas 100m dimenangi Xie Zhenye dari China dengan masa 9.97 saat (s) diikuti Puripol Boonson (Thailand) di tempat kedua (10.02s) dan Azeem di tempat ketiga menerusi catatan 10.11s.
Zhenye dilihat semakin hampir menemui rentak terbaiknya berdasarkan tiga larian dalam aksi terakhirnya di Kejuaraan China 2026 bulan lalu dengan catatan 10.12s (saringan), 10.15s (separuh akhir) dan 10.10s (final).
Puripol juga calon hangat bergelar raja pecut kali ini kerana statusnya sebagai pelari keempat terpantas dalam sejarah Asia dengan rekod peribadi (PB) 9.94s di Sukan SEA Thailand 2025 selain dia turut mencatat masa 9.99s tahun ini.
Dua nama lain turut dilihat mampu menjadi pencabar terkuat buat Zhenye, Puripol dan Azeem seperti Ali Al Balushi (Oman) serta Yoshihide Kiryu (Jepun).
Selain Azeem yang berada di ranking kesembilan Asia untuk tahun ini, seorang lagi wakil negara akan menggalas cabaran dalam acara 100m ialah Muhammad Umaira Subri yang memenangi pingat perak Sukan Malaysia dengan catatan 10.31s. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – TRACK PHOTO