ELVIN (tengah) muncul juara VTF 1 2026 di Stadium Olahraga USM semalam (19 April). - SUKAN IPT
KALENDAR olahraga negara baru bermula kurang tiga minggu tetapi persaingannya sudah semakin rancak, bukan hanya tertumpu acara pecut, malah turut melibatkan 110 meter (m) lari berpagar antara Elvin Yap Zhi Xian dan Armin Zahryl Abd Latif.
Semalam (19 April), Elvin mencipta kejutan dengan merampas ranking pertama Malaysia acara 110m lari berpagar bagi tahun 2026 dengan catatan 13.81 saat (s) yang merupakan rekod peribadinya (PB).
Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu melakukannya pada saingan separuh akhir Varsity Track & Field (VTF) Siri 1 2026 di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Ia sekali gus melonjakkan atlet berusia 22 tahun dari Kuching, Sarawak itu ke tangga pertama, memintas kedudukan sebelum ini dipegang oleh Armin Zahryl yang memenangi pingat gangsa Sukan SEA Thailand 2025.
Catatan terbaik Armin ketika ini adalah 13.82s sewaktu memenangi pingat emas Terbuka Singapura di Stadium Nasional Kallang pada 15 April lalu.

“Secara peribadi, kalau tengok ada orang lebih laju lagi, kita pun nak fight (lawan) dapatkan No.1, kalau Armin boleh buat, saya pun boleh buat,” kata Elvin eksklusif kepada Podium On Tour.
Selepas mencatat 13.81s, Elvin kemudiannya merakam masa 14.06s di final untuk menjuarai VTF 1 2026, menewaskan atlet dalam program pelapis kebangsaan, Hazriq Cik Mat Kilau (Universiti Malaya).
Hazriq meraih perak dengan catatan 14.16s sementara gangsa menjadi milik atlet UPM, Shareem Aleimran Abdul Raheem menerusi masa 15.01s.
“Saya terlanggar beberapa pagar sewaktu final, kalau tidak mungkin boleh buat masa lebih bagus lagi.
“Memang saya dan jurulatih rancang nak buat sub-14 tetapi Tuhan bagi lebih lagi (PB baharu 13.81s),” jelas anak didik Nur Herman Majid yang merupakan antara legenda olahraga negara. – PODIUM ON TOUR
TOP 2 ranking 110m berpagar Malaysia
1 – Elvin Yap Zhi Xian (13.81s)
2 – Armin Zahryl Abd Latif (13.82s)
KREDIT FOTO – SUKAN IPT