JING XUAN memegang rekod kebangsaan dengan catatan 52.17m dilakukan ketika meraih pingat perak Sukan SEA Thailand 2025. - ASIAN ATHLETICS
BAGI sesetengah pelajar, sukan dan akademik sering dilihat sebagai dua perkara yang sukar diseimbangkan, namun pemegang rekod rejam lembing wanita negara, Ng Jing Xuan berpandangan sebaliknya.
Pemenang pingat perak Sukan SEA Thailand 2025 itu percaya penglibatannya dalam sukan sejak usia muda sebenarnya banyak membantu membentuk dirinya dengan baik sebagai seorang pelajar.
ARTIKEL INI DIBAWAKAN OLEH TAVIS – PLATFORM PEMBELAJARAN DIGITAL UNTUK SEMUA
Menurut Jing Xuan yang pernah meraih keputusan 9A Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2021, antara kemahiran paling penting yang diperoleh menerusi kehidupan sebagai atlet ialah pengurusan masa dan disiplin diri.
“Sukan banyak membantu dalam akademik saya. Paling saya rasa ‘student-athlete’ boleh cemerlang dari segi pengurusan masa dan juga disiplin diri sebab kita nak latihan, dalam masa sama kena belajar.
“Walaupun berlatih dulu, lepas itu pergi kelas tetapi setiap malam saya akan pastikan saya buat sesuatu, buat ulang kaji atau semakan sikit. Sekurang-kurangnya saya ingat apa saya belajar di university,” katanya.
Bagi Jing Xuan, 22, pengurusan masa bukan sekadar membahagikan waktu antara latihan dan buku, tetapi turut memahami keadaan dan kemahuan diri sendiri.

“Saya akan tetap sebut pengurusan masa. Kita memang ada hati dan keinginan untuk berjaya dalam akademik tetapi kita kena ada kesediaan juga, barulah kita boleh buat,” jelas Jing Xuan yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 52.17 meter.
Atlet dari Sarawak itu percaya kepentingan akademik perlu dilihat daripada perspektif jangka panjang kerana ia boleh memainkan peranan penting apabila seseorang itu mula memikirkan hala tuju selepas tamat persekolahan.
Nasihat itu cukup relevan ketika ramai pelajar kini sedang memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi peperiksaan SPM 2026.
Selepas tirai Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 berlabuh minggu lalu, perhatian kini perlahan-lahan beralih kepada persediaan akademik, khususnya buat pelajar yang bakal menduduki SPM pada Oktober dan November ini.
Pengalaman di padang boleh membentuk disiplin untuk berjaya, manakala pencapaian akademik pula mampu membuka lebih banyak pintu untuk masa depan.

Penglibatan Jing Xuan dalam sukan olahraga bermula sejak usia muda termasuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Little Athletics pada usia 14 tahun sehinggalah memecahkan pelbagai rekod selepas itu.
Walaupun sukan menjadi sebahagian besar daripada kehidupannya, penuntut Sunway Universiti ini menegaskan keputusan akademik tetap mempunyai nilai yang besar.
Baginya, sijil SPM bukan sekadar sekeping kertas, sebaliknya menjadi antara asas penting untuk seseorang pelajar menentukan langkah seterusnya.
Malah, kecemerlangan dalam kedua-dua bidang memberikan lebih banyak pilihan kepada atlet muda, termasuk peluang mendapatkan biasiswa.
“Kalau keluarga tidak berapa senang, biasiswa memang banyak membantu. Kita tidak akan terlalu stres dan tidak mempunyai beban kewangan yang begitu besar,” jelas Jing Xuan. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – ASIAN ATHLETICS / IG NJXUAN04
