MEI YIN dinobatkan sebagai ratu pecut P18 MSSM 2026 atas kejayaannya memenangi pingat emas 100m dan 200m.
GELARAN ratu pecut Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 menjadi pembakar semangat buat Lim Mei Yin untuk terus mengejar kecemerlangan, bukan sahaja di trek, malah dalam akademik.
Walaupun MSSM 2026 sudah berakhir minggu lalu, namun perjuangan Mei Yin, 17, masih belum tamat dan kini dia fokus kepada peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) dan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).
ARTIKEL INI DIBAWAKAN OLEH TAVIS – PLATFORM PEMBELAJARAN DIGITAL UNTUK SEMUA
Menurutnya, pengurusan masa menjadi kunci utama untuk memastikan kedua-dua bidang yang diceburinya itu dapat diberikan perhatian sewajarnya.
“Kalau nak imbangi akademik dan sukan, saya cuba bagi tenaga yang sama untuk semua benda sebab masa kita memang terhad. Saya akan duduki IGCSE lagi tiga minggu dan selepas itu SPM.
“Belajar lebih lama tidak semestinya lebih berkesan. Jadi saya cuba lihat apa yang perlu diberikan lebih perhatian dan saya akan beri lebih tumpuan kepada bahagian itu.
“Saya letak sasaran untuk dapat straight A dan selepas itu tahun depan saya akan ke Sunway College dan ambil subjek-subjek berkaitan sains,” kata Mei Yin yang turut memenangi pingat perak 100m SUKMA 2026 dengan masa 11.96 saat (s).

Mei Yin menamatkan MSSM 2026 sebagai ratu pecut berganda 100 meter (m) dengan masa 12.12s dan 200m (24.71s) selain turut membantu Selangor memenangi pingat perak 4x100m.
Dalam masa sama, Mei Yin tidak berhasrat mengetepikan sukan olahraga yang sudah menjadi sebahagian penting dalam hidupnya.
Pelajar di Sekolah Antarabangsa Sri Kuala Lumpur itu turut menyimpan impian untuk menguji kemampuan di pentas lebih besar, termasuk memburu peluang mewakili negara pada Sukan SEA Malaysia 2027.
“Saya puas hati MSSM tahun ini. Saya dapat PB 200m, 24.71s. Untuk 100m, saya tahu masih ada banyak ruang untuk meningkat dan tahun depan saya akan cuba yang terbaik untuk pecahkan lagi tembok 11,” jelasnya. – PODIUM ON TOUR
