WAN HISHAM berucap pada MoU antara MA dan Dirigo Events di Wisma MOM hari ini.
KUALA Lumpur Standard Chartered Maraton (KLSCM) 2026 kini menjadi pemilihan awal buat pelari-pelari maraton negara untuk cuba melayakkan diri ke Sukan SEA Malaysia 2027.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Wan Hisham Wan Salleh selepas menandantagani memorandum persefahaman (MoU) dengan Dirigo Events yang merupakan pemegang hak dan penganjur KLSCM.
Lima pelari terbaik bagi kategori lelaki dan wanita KLSCM 2026 pada 4 Oktober ini akan berada dalam senarai panjang sesi pemilihan awal ke Sukan SEA 2027.
MA kini mengambil pendekatan lebih proaktif dalam persiapan awal bagi kategori marathon yang bertujuan memberi tempoh persediaan yang lebih mencukupi, sekali gus meningkatkan peluang mereka membawa pulang pingat pada Sukan SEA 2027.
“Malaysia mempunyai bakat dalam maraton yang boleh terus digilap dan kami sedang meneroka laluan pembangunan yang lebih tersusun serta terancang untuk membawa mereka ke tahap lebih tinggi.
“MA komited untuk meningkatkan penyertaan serta menyokong atlet-atlet maraton negara di pentas antarabangsa. Kami juga berharap dapat menemui bakat-bakat baharu yang berpotensi.
“Kami berharap dapat membantu mereka sepanjang tahun menerusi Latihan lebih sistematik dengan sasaran yang jelas, selaras dengan perkembangan serta prestasi masing-masing,” katanya.
Majlis berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini itu turut dihadiri Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans.
“Kami amat berbesar hati kerana KLSCM dipilih sebagai acara pemilihan awal rasmi. Ia merupakan satu pencapaian penting dalam sejarah olahraga Malaysia dan selari dengan misi serta objektif organisasi kami.
“Kami teruja dapat bekerjasama rapat dengan MA dalam membantu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027. Ini langkah pertama ke arah kerjasama jangka panjang bagi membangunkan serta memastikan kelestarian sukan ini,” jelas Biemans.
MoU kedua-dua pihak itu turut merangkumi beberapa bentuk kerjasama antaranya menyediakan program pembangunan atlet yang lebih tersusun serta. pendedahan pertandingan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Ia juga termasuk akses kepada kemudahan serta perkhidmatan sains sukan di bawah Institut Sukan Negara selain program pembangunan kejurulatihan secara bersama. – PODIUM ON TOUR