EMMA FIRYANA akan turun memulakan saingan dalam acara perseorangan wanita di Scottish Event Campus pada 28 Julai ini. - MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA
SUKAN Komanwel Glasgow 2026 memberikan peluang buat ratu boling padang wanita negara, Emma Firyana Saroji menebus kekecewaan empat tahun lalu yang hampir-hampir menamatkan kariernya sehingga pernah digelar ‘surat khabar lama’.
Empat tahun lalu, Emma dan gandingannya, Siti Zalina Ahmad gagal mempertahankan pingat emas acara pairs dimenangi ketika edisi Gold Coast 2018 apabila meraih tempat keempat di Birmingham 2022.
Ia mungkin antara faktor Emma tersisih daripada skuad kebangsaan selama dua tahun, namun semangatnya tidak pernah padam untuk membuktikan dia masih relevan mewakili Malaysia walaupun kini sudah berumur 40 tahun.
Akhirnya, peluang yang ditunggu-tunggu tiba dan Emma membuktikan bisanya masih belum hilang apabila meraih gangsa Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2025 di Aberdeen, Scotland.
Menariknya, kali ini Emma turun ke Komanwel buat kali pertama dengan ranking No.1 dunia sekali gus meningkatkan motivasinya untuk memburu pingat emas buat kontinjen Malaysia.
Bukan itu sahaja, dia juga diberi penghormatan membawa baton kontinjen negara, mengiringi Datuk Abdul Latif Romly sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian di OVO Hydro malam esok.
Kini, Emma mahu memburu satu lagi pencapaian belum pernah diraihnya di Sukan Komanwel iaitu pingat emas perseorangan wanita apabila turun membuka acaranya di Scottish Event Campus pada 28 Julai ini.
Ia bukan satu tugas mustahil buat atlet dari Selangor itu kerana dia pernah menjuarai Piala Dunia Boling Padang 2025 bagi acara perseorangan wanita.
Mungkin ramai tidak sedar bahawa 11 tahun lalu, Emma pernah bergelar juara dunia buat kali pertama Ketika menjuarai Kejohanan Juara Perseorangan Antara Juara Dunia 2015 di Brisbane, Australia.
Ia menjadikannya pemain boling padang wanita kedua negara selepas Nor Iryani Azmi di Christchurch, New Zealand pada 2005 dan ketiga dari Malaysia selepas Hizlee Abdul Rais, juara perseorangan lelaki di Paphos, Cyprus pada 2012.
Dan sehingga hari ini masih tiada lagi mana-mana pemain lelaki ataupun wanita dapat mengulangi kejayaan menjuarai kejohanan itu yang diibaratkan sebagai Sukan Olimpik bagi acara perseorangan sukan boling padang.
Esok, tiga wakil boling padang negara akan turun membuka saingan iaitu Izzat Shameer Dzulkeple bagi acara perseorangan lelaki dan gandingan Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman untuk kategori pairs wanita. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA