AZEEM, Armin, Pengiran dan Reeve akan turun acara 4x100m Kejohanan Olahraga Asia B23 malam ini.
KUARTET 4×100 meter (m) negara kini berada pada semangat dan keyakinan terbaik untuk mencipta kejayaan sensasi pada Kejohanan Olahraga Asia B23 2026 di Ordos, China malam ini (12 Julai).
Selain memburu kedudukan podium, kuartet dibarisi Azeem Fahmi, Reeve Kua Man Hong, Pengiran Aidil dan Armin Zahryl Abd. Latif juga menyasarkan untuk memadam rekod 4x100m kebangsaan, 39.03 saat (s).
Rekod itu dilakukan oleh kuartet sebelum ini, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Pengiran Aidil Auf Haham, Jonathan Nyepa dan Aliff Imah Fahmi ketika meraih pingat perak Sukan SEA Thailand 2025.
Keyakinan kali ini dilihat memuncak berdasarkan prestasi semasa atlet terutama Azeem yang menjuarai pingat emas 100m dengan catatan 10.17s.
Malah, semangatnya juga membuak-buak untuk menebus kekecewaannya pada final 200m selepas penyertaannya dibatalkan kerana insiden false start.
Armin juga di tahap terbaik selepas memecahkan rekod 110m lari berpagar negara yang sudah berusia 9 tahun, 13.67s milik Rayzam Shah Wan Sofian dengan catatan baharu 13.63s.
Catatan itu melonjakkan Armin sebagai pelari ketiga terpantas sepanjang zaman di rantau Asia Tenggara, di belakang John Cabang Tolentino dari Filipina (13.37s) dan legenda Thailand, Jamras Rittidet (13.61s).
Dua lagi pelari juga tidak kurang hebatnya apabila masing-masing mencipta rekod peribadi baharu di sana seperti Reeve (100, 10.63s) dan Pengiran (200m, 21.15s).
“Kita dalam keadaan bersedia walau apapun keadaan. Semua atlet dalam keadaan terbaik walaupun Azeem di hantui false start, ia tidak menganggu persiapan. Kita cuba buat catatan yg terbaik.
“Jika keajaiban berlaku seperti pertukaran baton sempurna dan larian yang baik, kita serah kepada takdir. Doakan kejayaan pasukan,” kata jurulatih pecut skuad olahraga negara, Mohd Nizam Mohd Yusof. – PODIUM ON TOUR