SASHA berjaya mengungguli Kejohanan Olahraga MSS Selangor 2026 dengan catatan baharu rekod remaja kebangsaan, 44.84m. - YAP JENG TZAN
ARENA olahraga negara kini berjaya melahirkan seorang lagi prospek baharu yang hanya menanti masa untuk menyerlah di peringkat senior iaitu atlet lempar cakera Selangor, Sasha Alyssa Philip.
Ia susulan kejayaan atlet berusia 18 tahun itu memperbaharui rekod remaja kebangsaan dengan catatan 44.84 meter (m), mengungguli Kejohanan Olahraga MSS Selangor 2026, Rabu lalu (5 Ogos).
Ini kali kedua dalam tempoh dua minggu Sasha memadam rekod itu selepas mencatat 44.19m di Kejohanan Remaja Selangor pada 19 Julai lalu, memecahkan catatan lama remaja kebangsaan 44.02m dicipta Queenie Ting Kung Ni pada 2014.
Tidak mustahil Sasha berpotensi untuk memperbaharui rekod berkenaan buat kali ketiga berturut-turut apabila turun beraksi di temasya Sukan Malaysia (Sukma) bermula 15 Ogos ini.
Sasha juga kini berada di ranking ketiga lempar cakera negara bagi tahun 2026, di belakang Queenie (49.74m) dan Nur Atiqah Sufiah Hanizam (45.48s).

Menariknya, jurulatih peribadi Alyssa, Yap Jeng Tzan mahu anak didiknya itu cuba memecahkan rekod Sukma miliknya, 46.66m sebagai permulaan ke arah impian lebih besar iaitu layak ke Sukan SEA Malaysia 2027.
“Sebelum dia mula rotation pada 2024, dia hanya mampu baling sekitar 34m. Dalam masa 2 tahun, dia dah meningkat hampir 10m dan awal tahun ini baru mula belajar reverse throw.
“Paling penting dia sebenarnya belum mula proper lifting atau weight training lagi. Sepanjang dua tahun ini, kita lebih banyak fokus kepada teknik.
“Selepas MSSM pada September nanti, kita akan fokus pada conditioning dan kemudian persediaan yang lebih serius untuk cuba melayakkan diri ke Sukan SEA tahun depan,” kata Jeng Tzan kepada Podium On Tour.

Untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan SEA, Alyssa perlu cuba menyamai catatan pemenang gangsa edisi Thailand 2025, Le Thi Cam Dung dari Vietnam yang membuat lemparan sejauh 49.32m.
“Sukan SEA terakhir saya sewaktu KL 2017. Saya mahu latih atlet sendiri cuba layak ke Sukan SEA pertamanya dan lebih manis kalau di Sukan SEA Malaysia 2027.
“Dia juga ada potensi yang sangat besar untuk pecahkan rekod kebangsaan dalam tempoh dua tahun akan datang,” tambah Jeng Tzan.
Rekod kebangsaan ketika ini dipegang oleh Queenie dengan jarak 52.77m dilakukan pada Grand Final Sukan IPT 2022. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – YAP JENG TZAN