UMAIRA (dari kiri), Danish Iftikhar dan Dzul Danish antara calon merebut pingat acara 100m SUKMA 2026 di Stadium UPM pada Ahad ini. - OLAHRAGA MALAYSIA
ADAKAH Danish Iftikhar Muhammad Roslee mampu mengekalkan statusnya sebagai raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA) bagi edisi Selangor 2026 kali ini?
Acara 100 meter (m) SUKMA akan berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Ahad ini (16 Ogos).
Danish Iftikhar, 19, ketika ini berada pada landasan tepat untuk mempertahankan pingat emas 100m dimenanginya semasa edisi SUKMA Sarawak 2024 selepas mara ke final Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun (B20) 2026.
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA Thailand 2025 itu meraih tempat kelapan dengan catatan 10.44 saat (s) pada final di Oregon, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Bagaimanapun, peluang dilihat terbuka buat kesemua pelari lain berdasarkan faktor Danish Iftikhar dan rakan sepasukannya dari Johor, Muhammad Airiel Iskandar Rusli kerana mereka berdua baru sahaja pulang ke tanah air kelmarin.
Nasib Airiel sedikit berbeza apabila menamatkan aksi 100m di Kejohanan Dunia B20 itu di pusingan pertama.
Sebagai rekod, Danish Iftikhar memenangi SUKMA 2024 dengan catatan masa 10.53s.
Selain Airiel, dua pencabar utama Danish Iftikhar di SUKMA 2026 pastinya hadir daripada pemenang pingat perak dan gangsa edisi SUKMA 2024 iaitu Danish Irfan Tamrin (Selangor) serta Muhammad Efrain Feerzan Qhan Mohd Yazid (Pahang).
Antara pencabar lain yang menjadikan acara reben biru kali ini dijangka penuh sengit seperti dua pelari pecut Kedah, Muhammad Umaira Subri dan Muhammad Dzul Danish Jamari serta bintang Sabah, Pengiran Aidil Auf Hajam. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – OLAHRAGA MALAYSIA