TUNKU PUTERI JAWAHIR (tengah) bersama barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2025 hingga 2027 pada AGM diadakan baru-baru ini. - MALGA
PERSATUAN Golf Wanita Malaysia (MALGA) mahu terus membangunkan bakat-bakat muda selain mengekalkan statusnya sebagai platform yang progresif kepada pemain-pemain golf wanita di Malaysia.
Dua aspek itu antara fokus utama yang mahu terus diperkasakan oleh barisan kepimpinan baharu MALGA bagi penggal baharu sehingga 2027 diketuai presidennya, Tunku Puteri Puan Sri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja’afar.
Tunku Puteri Jawahir dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MALGA ke-42 di Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Kuala Lumpur baru-baru ini, berbangga dengan pencapaian mereka melaksanakan pelbagai program tahun lalu.

Menurutnya, MALGA telah menyaksikan pelbagai kejayaan selama ini sebagai satu-satunya badan golf yang ditubuhkan semata-mata untuk membangunkan golf wanita tanah air.
“Keutamaan tetap jelas. Untuk bangunkan bakat muda, beri sokongan kepada pemain-pemain kompetitif dan pastikan MALGA terus menjadi platform yang mesra serta progresif untuk semua pemain golf wanita di Malaysia.
“Bersama-sama, kita (MALGA) telah mengukuhkan program, meluaskan peluang buat pemain golf remaja serta wanita dan terus mempromosikan semangat permainan (golf) di seluruh negara,” katanya.

Selain sambutan cukup menggalakkan dalam saingan berprestij Piala Puteri, penganjuran Terbuka Amatur Wanita Malaysia pada Julai 2025 berjaya menarik penyertaan 15 negara termasuk lapan dari Asia Tenggara.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memberikan kepercayaan kepada MALGA untuk melaksanakan Kursus Asas Latihan Sukan (KLAS) program Golf for Girls (GFG) selama enam sesi dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
Pada AGM berkenaan, jawatan Naib Presiden MALGA menjadi milik Dr. Noor Aziah Mohd. Ariffin dan Datin Sri Norhidayah Azmi, manakala Tengku A’liaa Muna Tengku Abdul Rahman menggalas peranan sebagai Setiausaha Kehormat MALGA.

Flora Anak Rabar pula sebagai Bendahari Kehormat selain Wan Aishah Wan Farid, Norli Che Daud, Hairryna Aleeza Muhamad Hafid Nawar dan Nurul Afzam Ngah selaku empat Ahli Jawatankuasa melengkapkan barisan kepimpinan penggal baharu MALGA.
Surimah Ismail kini menggalas peranan sebagai Pengurus Besar MALGA buat badan induk itu yang ditubuhkan sejak 15 Mac 1983 dan kini di bawah penaung, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
“Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa dedikasi semua ahli yang telah berkhidmat dalam jawatankuasa, kakitangan, dan penaja-penaja kami selama ini,” jelas Tunku Puteri Jawahir. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MALGA
1 thought on “MALGA komited perkasa bakat muda golf wanita”
Comments are closed.