AZEEM merekodkan catatan 21.50s untuk memperbaharui rekod 200m dalam dewan kebangsaan di Clemson awal pagi tadi. - AUBURN TRACK & FIELD
PERLUMBAAN 200 meter (m) pertama jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi bagi tahun 2026 bermula positif apabila dia mencipta rekod baharu 200m dalam dewan (indoor) Malaysia.
Azeem, 22, merakam masa 21.50 saat (s) dalam saringan lima 200m dalam dewan pada Kejohanan Bob Pollock Invitational di Clemson, Carolina Selatan awal pagi tadi.
Ia membolehkan Azeem memperbaharui rekod 200m dalam dewan kebangsaan yang sebelum ini dicipta Timothy Tan dengan masa 22.86s di Manchester, England pada November 2019.
Untuk kategori dalam dewan, ini rekod kedua dalam koleksi Azeem selepas 60m dalam dewan menerusi 6.56s dilakukannya pada Kejuaraan SEC, Mac tahun lalu.
Di Bob Pollock Invitational, rakan sepasukan Azeem di Universiti Auburn, Israel Okon meraih tempat ketiga (20.82s) acara 200m dalam dewan itu awal pagi tadi.
Dua pelari Clemson, Jalen Johnson dan Grant Holliday meraih emas serta perak selepas masing-masing mencatat 20.80s yang terpaksa dibezakan dengan keputusan photo finish.
Sebelum itu, pelari dari Teluk Intan, Perak itu mencipta masa 6.66s di peringkat saringan 60m dalam dewan dan 6.63s ketika separuh akhir.
Bagaimanapun, Azeem dan dua rakannya di Universiti Auburn, Kayinsola Ajayi serta Israel Okon selain Darien Lawrence (Florida A&M), Andre Hodge (Clemson) dan Javonte’ Harding tidak memulakan (DNS) aksi final.
Selepas ini, Azeem yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan masa 10.09s akan menyertai sama ada Tiger Paw Invitational di Clemson atau David Hemery Valentine Invitational di Boston pada 13 dan 14 Februari.
Ini adalah antara kejohanan dijadualkan oleh Auburn sebagai langkah persediaan menghadapi Kejuaraan SEC di Texas dari 26 hingga 28 Februari dalam usaha melayakkan diri ke final NCAA Indoor di Fayetteville pada 13 dan 14 Mac.
Sebagai rekod, tahun 2026 amat penting buat Azeem yang menggalas misi meraih keputusan lebih baik pada Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun selepas edisi terdahulu di Hangzhou, China menyaksikannya meraih pingat gangsa 100m. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – AUBURN TRACK & FIELD
1 thought on “Azeem cipta rekod 200m indoor Malaysia”
Comments are closed.