ANDRE mempunyai catatan tahunan terbaik 16.29m untuk acara lompat kijang bagi tahun 2025. - MALAYSIAN ATHLETICS
DUA kali ‘berputih mata’ disebabkan masalah visa dan Covid-19, bintang olahraga negara, Andre Anura Anuar enggan mensia-siakan peluang keemasan beraksi di pentas Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia (Asian Indoor) 2026.
Bagi Andre, dia masih belum boleh menutup musim 2025 secara rasmi ketika rata-rata atlet olahraga negara yang lain sudahpun memasuki fasa conditioning sebagai permulaan awal untuk pembukaan calendar 2026.
Masih lagi segar dengan kejayaan memenangi pingat emas dan perak pada Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember lalu, Andre mahu meneruskan momentumnya pada edisi ke-12 Asian Indoor di Tianjin, China dari 6 hingga 8 Februari ini.
Di bumi Bangkok bulan lalu, Andre berjaya memenangi emas lompat jauh dengan jarak 7.71 meter (m) tetapi tidak dapat mempertahankan dua gelaran terdahulu dalam lompat kijang apabila meraik perak menerusi catatan 16.29m.
Memandangkan ini adalah ‘buah terakhirnya’ sebelum memulakan conditioning, Andre yang berasal dari Tenom, Sabah menyasarkan untuk memadam rekod kebangsaan (NR) lompat kijang yang sudah berusia sembilan tahun sejak 2017.
“Musim saya untuk tahun lepas tak habis lagi sebab ada Asian Indoor minggu depan. Saya akan terbang ke sana (China) pada 3 Februari.
“Saya akan sertai lompat kijang sahaja. Sasarannya adalah rekod kebangsaan sebab kalau ikutkan tak jauh dengan catatan peribadi saya (16.51m).

“Alang-alang belum habis musim, saya nak buat sehabis baik. Lagipun ini debut saya di Asian Indoor. Dua kali sebelum ini dapat pergi tapi kedua-duanya tak jadi sebab masalah visa dan Covid,” katanya kepada Podium on Tour.
Rekod kebangsaan lompat kijang masih dipegang Muhammad Hakimi Ismail dengan catatan 16.77m sewaktu menjuarai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan ia turut menjadi rekod Sukan SEA.
Dalam masa sama, Andre turut mengimpikan peluang ke World Indoor 2026 di Torun, Poland pada Jun depan meskipun had kelayakan ditetapkan agak tinggi, 16.90m.
Pada edisi Asian Indoor 2024 di Tehran, Iran, atlet China, Su Wen muncul juara dengan jarak 16.74m diikuti pemenang perak dari Korea Selatan, Kim Jangwoo (16.37m) dan Ivan Denisov (Uzbekistan) meraih gangsa (16.18m).
Sebagai rekod, Malaysia pernah meraih satu emas, dua perak dan dua gangsa dalam sejarah penganjuran Asian Indoor sejak edisi pertama 2004 di Tehran, Iran.
Legenda lompat bergalah negara, Roslinda Samsu menjadi atlet paling berjaya di pentas Asian Indoor dengan satu emas pada 2010 dan dua perak (2004, 2008).
Dua lagi pingat perak negara berjaya dimenangi dalam acara 60m lari berpagar melalui Mohd. Robani Hassan dan Mohd. Faiz Mohamed masing-masing pada 2004 serta 2008. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MALAYSIAN ATHLETICS
2 thoughts on “Andre sasar rekod Malaysia di Asian Indoor 2026”
Comments are closed.